DJOKOVIC membenam Struff pada pusingan keempat Terbuka Perancis malam ini. FOTO AFP
DJOKOVIC membenam Struff pada pusingan keempat Terbuka Perancis malam ini. FOTO AFP
AFP

PEMAIN tenis nombor satu dunia Novak Djokovic meneruskan misi menjulang keempat-empat gelaran Grand Slam buat kali kedua dengan membenam pemain Jerman Jan-Lennard Struff pada pusingan keempat Terbuka Perancis malam ini.

Pemain Serbia berusia 32 tahun itu menampilkan aksi luar biasa apabila mencatat kemenangan 6-3, 6-2, 6-2 untuk laluan ke suku akhir menentang sama ada pemain Itali Fabio Fognini atau pilihan kelima Alexander Zverev.

Djokovic adalah pemain lelaki pertama mara ke suku akhir di Paris untuk 10 musim berturut-turut. Secara keseluruhannya ia penampilan ke-13 di suku akhir.

“Memang mencabar di dalam hujan tetapi itulah Paris,” kata juara 2016 itu selepas beraksi dalam hujan renyai.

“Saya benar-benar yakin dengan servis saya. Saya harap ia terus begitu.”

Hanya legenda Australia Rod Laver pernah menjulang keempat-empat gelaran utama pada masa sama buat kali kedua, mengikuti kalendar Grand Slam pada 1962 dan 1969.

Namun Djokovic yang juga pilihan utama, yang menjulang keempat-empat gelaran selepas menjuarai kejohanan Roland Garros buat kali pertama tiga tahun lalu, dijangka mengikuti jejak Laver selepas menjuarai Terbuka Australia awal tahun ini selepas mengungguli Wimbledon dan Terbuka AS tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 10:34 PM