DJOKOVIC menjalani latihan di  Billie Jean King National Tennis Center, New York semalam. FOTO AFP
DJOKOVIC menjalani latihan di Billie Jean King National Tennis Center, New York semalam. FOTO AFP
AFP

New York: Pilihan utama Novak Djokovic berusaha melengkapkan kalendar Grand Slam pertama dalam tempoh 52 tahun sekali gus muncul pemenang terbanyak Slam dengan menjulang trofi Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Belum ada mana-mana pemain melakukannya sejak kali terakhir oleh Rod Laver pada 1969 dan peluang mencipta sejarah membakar semangat Djokovic untuk mengungguli musim 2021.

"Saya tahu betapa besar peluang terhidang depan saya,'' kata bintang Serbia itu. "Saya sangat bermotivasi untuk beraksi pada tahap terbaik. Saya mendapat inspirasi untuk itu.''

Lima bekas juara tidak akan beraksi apabila kejohanan membuka tirai esok di Flushing Meadows termasuk Roger Federer, Rafael Nadal, Stan Wawrinka, Juan Martin del Potro dan pemenang 2020, Dominic Thiem akibat kecederaan.

Halangan Djokovic untuk merangkul gelaran Slam ke-20nya kini ialah deretan pemain muda seperti pilihan kedua dari Rusia, Daniil Medvedev, pilihan ketiga dari Greece, Stefanos Tsitsipas dan juara Olimpik yang juga pilihan keempat dari Jerman, Alexander Zverev.

Djokovic, 34, tidak tewas dalam aksi Grand Slam tahun ini apabila menewaskan Medvedev di Terbuka Australia, Tsitsipas di Terbuka Perancis dan mengatasi cabaran pemain Itali, Matteo Berrettini di final Wimbledon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 12:10 PM