AFP

New York: Stanislas Wawrinka muncul juara tertua dalam kategori lelaki Terbuka Amerika Syarikat dalam tempoh 46 tahun selepas menewaskan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic untuk menjulang gelaran Grand Slam ketiga semalam.

Wawrinka, pilihan ketiga berusia 31 tahun, menewaskan Djokovic 6-7 (1/7), 6-4, 7-5, 6-3 selepas aksi hebat selama hampir empat jam.

Dia turut berjaya menahan sabar apabila final itu hampir mencetuskan kontroversi apabila Djokovic dua kali meminta perlawanan ditangguhkan untuk mendapatkan rawatan pada set keempat.

Wawrinka adalah pemenang tertua kejohanan dalam kategori lelaki selepas Ken Roswell yang ketika itu berusia 35 tahun pada 1970 dan atlet pertama melebihi usia 30 tahun menjulang gelaran itu selepas Pete Sampras pada 2002.

Ia kemenangan pertama pemain Switzerland itu di New York, selepas menjuarai Terbuka Australia 2014 dan Roland Garros 2015.

Dalam kedua-dua kejohanan Djokovic menjadi mangsanya, tewas di Melbourne pada suku akhir dan naib juara di Paris.

“Jika anda mahu menewaskan pemain nombor satu dunia, anda perlu memberikan segala-galanya,” kata Wawrinka yang menang 11 perlawanan terakhirnya.

“Anda perlu menerima penderitaan dan menikmatinya kerana saya fikir Grand Slam adalah kejohanan paling menyakitkan fizikal dan mental pernah saya sertai.

“Saya terasa kejang pada set ketiga. Pada set keempat saya terasa sakit namun paling penting adalah tidak menunjukkan apa-apa.”

Djokovic, juara 2011 dan 2015, memburu gelaran Grand Slam ketiga tahun ini dan kejuaraan utama ke-13 sepanjang kariernya.

Namun pemain Serbia berusia 29 tahun itu menduduki tempat kedua di New York selepas menerima padah apabila hanya memanfaatkan tiga daripada 17 mata break.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 6:14 AM