MEI KUAN-Meng Yean (kanan) ketika majlis penyampaian hadiah selepas memenangi kejohanan badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, hari ini. FOTO Persatuan Badminton Malaysia
MEI KUAN-Meng Yean (kanan) ketika majlis penyampaian hadiah selepas memenangi kejohanan badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, hari ini. FOTO Persatuan Badminton Malaysia
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Berkongsi impian sama menjadi kunci kejayaan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menamatkan penantian meraih gelaran pertama dalam kejohanan bertaraf 'tiga bintang' dengan menjuarai Kejuaraan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, hari ini.

Beregu wanita nombor satu negara itu yang tampil sebagai pilihan ketiga kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 itu dinobatkan juara selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Ashwini Ponnappa-N Sikki Reddy 21-15, 21-13 dalam aksi final.

Bagi Meng Yean, kejayaan itu adalah sesuatu diidamkan mereka bagi membuktikan mereka juga mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

"Kami terlalu mahukan keputusan ini bagi membuktikan kami boleh melakukannya. Selepas saya mengalami kecederaan pada Februari lalu dan terpaksa berehat sehingga Mei, ia perjalanan yang cukup sukar untuk saya.

"Namun, saya tetap percaya saya boleh melakukannya. Saya dan pasangan (Mei Kuan) percaya antara saya sama lain dan kami mempunyai matlamat sama. Sebab itu, kami boleh melakukannya," kata Meng Yean ketika dihubungi selepas tamat aksi final.

Ia adalah gelaran pertama buat Mei Kuan-Meng Yean yang menghuni ranking ke-19 dunia dalam saingan Jelajah Dunia selepas terlepas peluang meraihnya apabila sekadar muncul naib juara pada Terbuka Russia, Julai lalu.

Meng Yean berkata apa yang dicapai hari ini hanyalah permulaan buat mereka dan optimis dia dan Mei Kuan mampu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini terutama bagi merealisasikan impian layak ke Olimpik Tokyo 2020.

Pusingan kelayakan ke Tokyo akan bermula pada 1 Mei tahun depan.

"Ini hanyalah permulaan untuk kami, kami percaya lebih banyak kejayaan kami boleh capai. Kami perlu terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan kami.

"Kami menetapkan sasaran untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020 dan kami akan berjuang untuk itu," katanya.

Berita berkaitan:

  • Mei Kuan-Meng Yean 'mengamuk' di Lucknow
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 10:45 PM