JURUTEKNIK bertugas di kereta Hamilton di Litar de Catalunya, Montmelo menjelang GP Sepanyol, semalam. —  FOTO AFP
JURUTEKNIK bertugas di kereta Hamilton di Litar de Catalunya, Montmelo menjelang GP Sepanyol, semalam. — FOTO AFP
Reuters

LEWIS Hamilton menyatakan dia akan bersaing sengit dengan rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas ketika pemandu Finland itu sekali lagi mendahului kejuaraan Formula Satu, sekalipun hubungan mereka kekal baik.

Juara dunia lima kali itu berkata, selepas Bottas menang Grand Prix Azerbaijan, kejayaan keempat berturut-turut penamat satu-dua pasukan itu, dia “terlalu baik” pada permulaan dan “secara asasnya memberikan kemenangan kepadanya.”

Hamilton menegaskan kepada wartawan pada GP Sepanyol semalam Bottas perlu bekerja keras untuk mempertahankan kedudukannya bermula dari sekarang.

“Sasaran utama pasukan ini adalah berada di puncak dan saya seorang pemain sepasukan,” katanya.

BOTTAS (dua kiri) menghadiri sidang media bersama pemandu lain di Litar de Catalunya, Barcelona, semalam. — FOTO AFP
BOTTAS (dua kiri) menghadiri sidang media bersama pemandu lain di Litar de Catalunya, Barcelona, semalam. — FOTO AFP

“Kami tidak akan berlanggar (kereta), itu sudah tentu. Tapi dari segi membenarkan dia menang, ia tidak akan berlaku lagi,” ujar pemandu berusia 34 tahun itu.

Bottas dan Hamilton masing-masing menang dua perlumbaan dan dua tangga kedua namun pemandu Finland itu mendahului satu mata selepas mata tambahan kerana merakam catatan masa sepusingan terpantas pada GP Australia.

Hamilton bermula sebagai pilihan bagi perlumbaan Ahad ini, pusingan pertama daripada musim tradisi Eropah, tatkala dia memburu kemenangan GP Sepanyol keempat ketika musuh mereka Ferrari bergelut untuk mencabar.

Pemandu Britain itu, yang menang dua perlumbaan terakhir di Litar de Catalunya, secara tidak langsung menyentuh mengenai pergolakan dalaman ketika dia bergandingan dengan juara 2016 yang sudah bersara Nico Rosberg.

Dia memberi jaminan kepada wartawan perkara itu tidak akan berulang.

“Ada perkara di belakang tabir yang anda tidak tahu,” katanya.

“Apa yang penting kami bergandingan baik sebagai satu pasukan. Kami sudah berbincang mengenainya dan harapnya membaiki suasana dan ia tidak akan meletus lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 11:50 AM