SOKRATIS menjaringkan gol Arsenal di Molineux. - FOTO Agensi
SOKRATIS menjaringkan gol Arsenal di Molineux. - FOTO Agensi
AFP

UNAI Emery belum mahu menyerah kalah dalam perebutan slot Liga Juara-Juara walaupun Arsenal tewas 1-3 kepada Wolves di Molineux, awal pagi tadi.

Jaringan Ruben Neves, Matt Doherty dan Diogo Jota menghadiahkan kekalahan ketiga Arsenal dalam empat aksi terakhir Liga Perdana seterusnya menyukarkan peluang mereka menduduki empat kelompok teratas dengan berbaki tiga perlawanan.

Pengendali Arsenal itu mengakui prestasi skuadnya jauh di bawah tahap sebenar apabila Wolves mengamuk dengan tiga gol pada babak pertama sekali gus menyukarkan anak buahnya bertindak balas.

Bagaimanapun, pengurus dari Sepanyol itu mahu terus mencuba nasib dengan layak ke liga elit Eropah itu menerusi kedudukan empat teratas atau dengan menjuarai Liga Europa.

"Saya selalunya sangat kritikal dan marah dengan diri sendiri jika strategi perlawanan tidak menjadi, bukannya dengan pemain,” katanya ketika ditanya sama ada dia berang dengan pemainnya.

"Pertamanya dengan diri sendiri, selepas itu cara dan idea, bukannya mencari pemain yang beraksi buruk.

"Saya akan mencari penyelesaian dan fokus kepada aksi terbaik menentang Leicester untuk mencari tiga mata.”

Emery juga enggan menyalahkan penjaga golnya, Bernd Leno. “Saya enggan mencari kesalahan individu. Kami perlu memulihkan kembali keyakinan.”

Jaringan Neves menerusi sepakan percuma, tandukan Doherty dan rembatan Jota pada babak pertama jelas menampakkan pertahanan Gunners yang rapuh sebelum Sokratis menjaringkan gol tunggal pelawat pada lewat babak perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:09 AM