CHENG Hoe
CHENG Hoe
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Ketumpulan jentera serangan skuad Harimau Malaya yang memeningkan kepala Tan Cheng Hoe dalam beberapa tugasan antarabangsa sebelum ini dijangka berakhir sekiranya penyerang import UKM FC, Michael Chukwubunna berjaya direkrut sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh.

Jika rekod jaringan sepanjang aksi tahun lalu diambil kita terutama perlawanan di Piala AFF, anak buah Cheng Hoe berjaya meledak 11 gol dalam lapan aksi bermula peringkat kumpulan hingga ke final.

Penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha muncul penjaring terbanyak dengan lima gol disusuli Zaquan Adha Abdul Radzak (tiga gol) dan masing-masing satu gol menerusi Syahmi Safari, Safawi Rasid dan Shahrul Saad.

Daripada lima nama penjaring itu, hanya Zaquan adalah benar-benar penyerang tulen manakala Norshahrul dan Safawi lebih banyak bertindak sebagai pemain sayap diikuti Syahmi dan Shahrul tonggak pertahanan.

Situasi itu berbeza dengan Thailand dan Vietnam apabila memiliki penyerang prolifik seperti Adisak Kraisorn dan Phan Van Duc yang sentiasa menghadiahkan gol buat pasukan mereka.

Malah, kejohanan jemputan Piala Airmarine yang berlangsung pada Mac lalu membuktikan bahawa ketandusan penyerang amat membimbangkan ketika Malaysia bakal mengharungi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste Jun depan.

Menurut Cheng Hoe, menjadi harapan besarnya sekiranya kelibat pemain kelahiran Nigeria itu boleh diuji segera terutama dalam misi skuad negara menempah laluan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) berusaha mempercepatkan proses bagi memastikan dia beraksi bersama skuad negara.

“Tetapi saya tetap yakin dengan barisan pemain yang sedia ada jika tidak dapat menurunkan pemain itu,” katanya.

Ketika ini, FAM meneliti secara serius cadangan mengambil Chukwubunna dengan penjaring terbanyak Piala Cabaran (13 gol) musim lalu itu dilihat mudah memenuhi syarat bergelar pemain naturalisasi kedua negara.

Malah, syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada setiap pemain naturalisasi yang tiada pertalian darah iaitu perlu menetap sekurang-kurangnya lima tahun sebenarnya lebih daripada mencukupi buatnya bergelar pemain negara.

Pemain itu sudah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) sejak 2012 dan turut mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan dari Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 8:30 AM