KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe percaya anak buahnya sudah bersedia untuk mengharungi kempen Piala AFF, Khamis ini meskipun mengakui persembahan mereka ketika menundukkan Maldives, 3-0, malam tadi, belum sempurna.
Kemenangan ke atas Maldives dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu dilihat tonik terbaik Harimau Malaya sebelum bertemu Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan A.
Tapi jika dinilai daripada persembahan keseluruhan permainan, Cheng Hoe masih ‘menggelengkan kepala’ melihat aksi anak buahnya kerana melakukan kesilapan sama.
“Saya harus memberi pujian kepada pemain kerana aksi menentang Maldives ini bukan mudah kerana mereka bermain dengan baik.
“Pemain cuba memberi aksi terbaik untuk memenangi perlawanan tapi kita kurang tenang, fokus dan kerap kehilangan bola ketika menyerang manakala serangan balas pantas Maldives hampir menghasilkan gol.
“Tapi pemain kita memiliki semangat tinggi serta komitmen baik dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Dalam perlawanan berlangsung di atas padang basah akibat hujan sepanjang permainan, Malaysia yang menduduki ranking ke-169 meraih gol menerusi percubaan kapten Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-16 sebelum Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh menambah jaringan pada babak kedua.
Kemenangan itu adalah yang kelima daripada sembilan perlawanan kendalian Cheng Hoe tahun ini dengan aksi terakhir sebelum ini mereka tewas 0-1 kepada Republik Krygzstan pada 16 Oktober lalu.
Selepas menilai aksi pemain, Cheng Hoe membuat kejutan dengan menggugurkan pemain tengah Nor Azam Azih, Azizan Nordin dan pertahanan kanan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.
Daripada senarai akhir 23 pemain itu, lapan pemain bersamas kuad 2016 iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.
“Pemain sudah bersedia, kita kena ada keyakinan untuk mengharungi saingan Piala AFF kerana semua negara ASEAN dahagakan kejayaan. Kita harus mengambil peluang yang menggunakan format baru ini (tiada tuan rumah kejohanan),” kata Cheng Hoe.
Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan A Piala AFF bertemu Kemboja di Phnom Penh, Khamis ini sebelum menentang Laos di SNBJ (12 November), Vietnam di Hanoi (16 November) manakala aksi terakhir bertemu Myanmar di SNBJ ( 24 November).
Senarai pemain skuad kebangsaan
Penjaga gol
Khairul Fahmi Che Mat
Farizal Marlias
Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy
Pertahanan
Shahrul Saad
Aidil Zafuan Abd Radzak
Adam Nor Azlin
Nazirul Naim Che Hashim
Irfan Zakaria
Amirul Azhan Aznan
Syahmi Safari
Syazwan Andik
Tengah
Syamer Kutty Abba
Syazwan Zainon
Kenny Pallraj
Akram Mahinan
Safawi Rasid
Akhyar Rashid
Mohamadou Sumareh
Penyerang
Zaquan Adha Abd Radzak (K)
Syafiq Ahmad
Shahrel Fikri Md Fauzi
Ahmad Hazwan Bakri
Norshahrul Idlan Talaha