KUANTAN FA masih ‘berhutang’ RM100,000 dengan Ismail.
KUANTAN FA masih ‘berhutang’ RM100,000 dengan Ismail.
Meor Riduwan Meor Ahmad

BEKAS pegawai dan pemain Kuantan FA terus berharap masalah tunggakan gaji dengan bekas majikan mereka itu dapat diselesaikan segera.

Bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria berkata, tunggakan gajinya dengan kelab terbabit adalah sebanyak RM100,000.

“Sebenarnya, saya harap perkara ini dapat diselesaikan cepat. Saya sendiri sudah menghubungi Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dua minggu lalu. Beliau berkata perkara itu sedang diuruskan dengan mereka yang terbabit termasuk Persatuan Bolasepak Pahang.

“FAM akan bantu selesaikan masalah itu seperti isu Perlis yang menggunakan dana tahunan. Saya amat berharap FAM dapat buat perkara sama untuk Kuantan FA,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Ismail berkata, isu tunggakan gaji bukan saja memberi pengajaran besar kepada pemain, malah FAM juga perlu memastikan ia tidak berulang pada musim akan datang.

“Saya amat berharap supaya FAM dapat membantu kami yang dibelenggu isu tunggakan gaji apatah lagi ada dalam kalangan kami tidak lagi beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Ada pemain menghubungi saya dan bertanya bila isu ini akan selesai apatah lagi bila dapat tahu beberapa pasukan sudah langsaikan tunggakan gaji pemain masing-masing. Selepas ini FAM perlu ada mekanisme baru dengan menentukan hanya pasukan yang betul-betul bersedia dan cukup dana layak bertanding dalam Liga M,” katanya yang kini mengendalikan UiTM FC.

Sementara itu, bekas pemain Kuantan FA dan PDRM, Hazwan Fakrullah Mohd Zuridi berkata, dia tidak berputus asa untuk mendapatkan gajinya berjumlah RM12,500 yang tertunggak selama dua bulan setengah sejak 2017.

“Saya amat berharap ada penyelesaian segera seperti isu gaji dengan PDRM yang sudah dilangsaikan. Alhamdulillah bayaran dibuat terus dalam akaun saya. Langkah ini lebih selamat dan tiada penyelewengan dengan persetujuan antara pemain dan pasukan,” katanya.

Bekas rakan sepasukannya, Mohd Kamal Rodiarjat Mat Ali, 32, turut berterima kasih kepada PDRM dalam melangsaikan tunggakan gajinya.

“Saya tak tahu nak kata apa, tapi terima kasih kepada PDRM dan FAM yang membantu menyelesaikan tunggakan gaji saya. Cuma tunggakan gaji dengan Kuantan FA sebanyak RM15,000 yang saya harap dapat selesai cepat sebab sudah masuk tiga tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 6:31 AM