Meor Riduwan Meor Ahmad


CADANGAN mewujudkan Tabung RM1 bagi mengumpul sumbangan warga bola sepak disambut baik bukan saja bekas pemain yang dibelenggu masalah tunggakan gaji, malah pemain veteran.

Mereka menyifatkan idea Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) itu tepat pada masanya dan diyakini boleh membantu meringankan beban pemain terbabit.

Bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hazwan Fakrullah Mohd Zuridi, 28, berkata, dia kini masih menunggu bekas majikan melangsaikan tunggakan gajinya selama enam bulan kira-kira RM48,000.

“Sebelum ini, mereka (bekas majikan) janji untuk langsaikan tunggakan gaji saya pada Januari. Kemudian tangguh pada Februari dan terbaru pada Mac pula kerana menunggu geran daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

“Keadaan ini menyebabkan saya terbeban kerana tiada sumber pendapatan dan ambil keputusan bekerja dengan syarikat pembersihan bagi menampung perbelanjaan.

“Jika tabung ini diwujudkan, sedikit sebanyak boleh bantu bekas pemain seperti saya yang tiada sumber pendapatan lain selain bermain bola sepak ,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menurutnya, sebelum menyertai PDRM pada 2017, dia bermain dengan Kuantan FA selama tiga tahun bermula 2013 dan turut berdepan masalah sama apabila gajinya kira-kira RM14,000 tertunggak selama dua bulan setengah.

“Saya kini jadi takut bermain bola sepak lagi walaupun masih mendapat tawaran daripada PDRM,” katanya.

Bekas rakan sepasukannya, Mohd Kamal Rodiarjat Mat Ali, 32, berharap Tabung RM1 dapat direalisasikan bagi membantu pemain yang dibelenggu isu tunggakan gaji yang lama.

“Macam tidak adil jika dilihat isu ini (tunggakan gaji). Dulu pemain dijulang, sekarang apabila sakit dan berdepan masalah tunggakan gaji dibiarkan begitu saja. Berbanding pemain bola sepak di luar negara, nasib mereka lebih terbela. Bagaimana liga kita nak profesional?

“Saya berpendapat tabung seperti ini bertujuan jaga kebajikan pemain baik jika diwujudkan, namun untuk bayar gaji tidak sesuai ibarat ‘orang lain berak, orang lain cuci,” katanya.

Menurutnya, PDRM berhutang RMRM54,000 untuk gajinya selama enam bulan, manakala Kuantan FA pula kira-kira RM15,000 untuk dua bulan setengah.

Sementara itu, bekas pertahanan Johor, Azmil Azali berkata, dalam keadaan banyak pasukan negeri dan kelab dalam Liga Malaysia menghadapi masalah pembayaran gaji, langkah mewujudkan tabung khas itu amat baik. “Terlalu banyak negeri atau kelab menghadapi masalah kewangan meruncing untuk membayar gaji pemain, jadi tabung khas ini serba sedikit boleh bantu pemain walau hanya dapat bantuan tidak penuh daripada gaji.

“Perkataan ‘kasihan pemain’ sangat hadam untuk situasi sekarang buat pemain yang masih atau terus tidak menerima gaji mereka mengikut kontrak yang ditandatangani semasa awal musim.

“Tambahan pula setiap pemain ada komitmen lain untuk diselesaikan, jadi tabung ini dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:06 AM