SOON Huat dan Shevon akan menentang beregu Indonesia pada pusingan pertama Seluruh England.
SOON Huat dan Shevon akan menentang beregu Indonesia pada pusingan pertama Seluruh England.
Ferzalfie Fauzi

TERLEPAS peluang mempertahankan gelaran Terbuka Jerman harus dilupakan dengan segera buat pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai kerana menanti mereka esok adalah tugasan lebih besar iaitu pusingan pertama Seluruh England.

Halangan pertama mereka adalah gandingan dari Indonesia, Ronald Ronald-Annisa Saufika yang sekarang ini menduduki ranking ke-27 dunia.

"Saya berharap mereka mampu mengekalkan rentak atau melakukan lebih baik dari sebelum ini," kata jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui.

Umum mengetahui bahawa mana-mana pasangan Indonesia memang sukar untuk dijinakkan namun, bekas pemain beregu wanita negara itu masih yakin dengan kemampuan anak buahnya dan menganggap undian masih lagi menyebelahi Soon Huat-Shevon.

"Bagi saya ia bukan satu halangan sukar buat Soon Huat-Shevon (di pusingan pertama)," kata Eei Hui yang tetap memuji anak buahnya ketika saingan separuh akhir di Terbuka Jerman hujung miggu lalu. Beliau membuat kesimpulan bahawa semuanya berjalan lancar dan mengikut seperti apa yang dirancangkan ketika di Jerman namun ketika di separuh akhir pemain lawan (Seo Seung Jae-Chae Yujung) beraksi lebih baik.

"Mereka sedikit gementar pada aksi berkenaan namun secara keseluruhan di kejohanan itu, saya nampak mereka ada menunjukkan peningkatan walaupun masih ada ruang perlu diperbaiki," katanya. Tumpuan di Seluruh England juga terarah kepada gandingan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila pilihan kelima kejohanan itu berdepan Takuro Hoki-Wakana Nagahara dari Jepun. Sementara itu, pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula bakal berdepan tugas sukar apabila menentang pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Pasangan muda negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pula akan berentap dengan wakil tuan rumah, Chris Adcock-Gabrielle Adcock.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 11:33 PM