SOON Huat (kiri), dan Shevon lepasi pusingan pertama Terbuka Denmark. -Foto fail
SOON Huat (kiri), dan Shevon lepasi pusingan pertama Terbuka Denmark. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur:Hanya gandingan Goh Soon Huat - Shevon Lai yang berjaya melepasi pusingan pertama badminton Terbuka Denmark ketika dua lagi beregu campuran negara tumbang kepada lawan masing-masing, semalam.

Kemenangan 21-15, 23-25, 21-14 Soon Huat-Shevon ke atas pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hwan-Lee So Hee itu ternyata memberi kelegaan buat ketua jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui.

Ini kerana dua lagi sandaran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See gagal mengikut jejak Soon Huat-Shevon.

Berikutan itu, Eei Hui harus segera mencari jalan terbaik bagaimana untuk memulihkan semula prestasi Kian Meng-Pei Jing yang tumpas di tangan Seo Seung Jae-Kim Na Ha (Korea Selatan) dengan keputusan 17-21, 10-21.

Mereka yang memegang status selaku pasangan utama negara, menunjukkan penurunan prestasi sejak Terbuka Korea Selatan dan Jepun, September lalu apabila tumpas di pusingan awal.

Sementara itu, Peng Soon-Yee See yang turut tumpas di pusingan pertama Terbuka Belanda minggu lalu, sekali lagi mengulangi skrip sama apabila kalah 21-15, 12-21, 18-21 di tangan Marcus Ellis-Lauren Smith dari England.

Bagi Shevon, dia tidak merasai sebarang tekanan selepas muncul wakil tunggal beregu campuran negara yang akan meneruskan perjuangan beraksi di pusingan kedua.

“Kami tidak tertekan kerana menjadi satu-satunya pasangan beregu campuran yang tinggal,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

“Kami mahu memberikan aksi paling baik kerana sedar tugasan selepas ini bukannya mudah menentang Wang Yilyu-Huang Dongping (China).

“Hari ini, kami bermula dengan baik di set pertama, namun terlalu cepat untuk mematikan perlawanan di set kedua menyebabkan kami tumpas, sebelum bangkit semula dan selesa dengan corak permainan sebenar,” kata Shevon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 11:13 AM