VERSTAPPEN (kanan) mampu mengancam kedudukan Hamilton (dua dari kanan) dan Vettel (kiri) tahun ini.
VERSTAPPEN (kanan) mampu mengancam kedudukan Hamilton (dua dari kanan) dan Vettel (kiri) tahun ini.
Reuters

LONDON: Max Verstappen menjadi pemandu bakal 'digeruni' juara dunia lima kali Formula Satu (F1) Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel dari Ferrari bagi musim baharu nanti, menurut prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner.

Pemandu berusia 21 tahun dari Belanda itu memenangi dua perlumbaan tahun lalu dan terlepas peluang merangkul kemenangan ketiga apabila mengalami pelanggaran ketika sedang mendahului di Brazil. Dia menamatkan musim lalu di tangga keempat keseluruhan.

Hamilton, 34, yang memenangi 11 perlumbaan untuk pasukan Mercedes berada di landasan tepat untuk meraih gelaran ketika itu manakala juara empat kali dunia Vettel, 31, berada di tangga kedua selepas merangkul lima kemenangan.

"Max, sekiranya kamu melihat kepada prestasinya di babak kedua tahun lalu, dia meraih mata kedua tertinggi selepas Lewis," kata Horner.

"Saya tidak fikir dia memiliki apa-apa kekurangan daripada mereka, sekiranya kami mampu menyediakan peralatan untuk dia melaksanakan tugasnya. Saya fikir, dia mungkin menjadi pemandu yang paling digeruni mereka."

Verstappen adalah pemandu termuda dalam sukan itu ketika muncul pertama kali bersama pasukan milik Red Bull, Toro Rosso - ketika itu berusia 17 tahun - dan menjadi pemandu termuda yang memenangi perlumbaan pada usia 18 tahun di Grand Prix (GP) Sepanyol 2016.

"Saya fikir kematangannya sudah meningkat, kami dapat melihatnya ketika musim lalu. Dia lebih banyak berlumba menggunakan pengalaman dimilikinya," kata Horner mengenai Verstappen yang kini menjadi pelumba utama mereka selepas Daniel Ricciardo (Australia) berpindah ke pasukan Renault.

"Dia lebih berpengalaman, dia hanya berada di tempat yang lebih baik untuk mampu berurusan dengan tekanan yang disandarkan kepadanya."

Red Bull kini bekerjasama dengan Honda selepas lebih sedekad bersama Renault, pengeluar yang membantu mereka meraih empat gelaran pemandu berturut-turut dan dua gelaran pengeluar sekitar tahun 2010-13.

Honda mengalami detik sukar bersama McLaren sebelum berpecah dan bergabung dengan pasukan milik Red Bull, Toro Rosso, tahun lalu.

Horner bagaimanapun berkata, Honda sudah menunjukkan peningkatan ketika musim sejuk di Eropah dan moral mereka ketika ini adalah positif tatkala dia optimis kerjasama dengan Honda ini akan membuahkan hasil yang berbeza berbanding sebelum ini.

"Apa yang jelas kami sudah membayar tiket kelas utama dan kamu berada di kelas ekonomi," katanya mengenai tiga musim lalu bersama Renault.

"Satu kekecewaan dizahirkan daripada perkara itu... jadi saya fikir bersama Honda, ia adalah satu kerjasama teknikal yang jelas, terdapat banyak tanggungjawab bersama dari kedua-dua pihak berbanding hanya tertumpu kepada senario pembekal pelanggan saja."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 10:01 AM