BOS Red Bull, Christian Horner (kiri) akan buat keputusan bulan depan. FOTO Reuters
BOS Red Bull, Christian Horner (kiri) akan buat keputusan bulan depan. FOTO Reuters
AFP

GP KANADA bakal menjadi saksi keputusan sama ada Red Bull akan terus kekal bersama Renault - gandingan yang membolehkan mereka bergelar juara setakat ini - atau beralih arah kepada enjin Honda musim depan.

Bos Red Bull, Christian Horner berkata, keputusan mengenai kerjasama itu perlu dibuat pada hujung Jun dan awal Julai.

“Kami sedang menunggu dengan penuh sabar mengenai prestasi enjin kami di Montreal, dua minggu lagi,” katanya.

GP Kanada yang dijadualkan berlangsung pada 10 Jun adalah pusingan ketujuh daripada 21 aksi musim ini dan kedua-dua pengeluar - Renault dan Honda - merancang untuk melakukan pengubahsuaian besar di Litar Gilles Villeneuve.

Red Bull yang menggunakan enjin Renault diberi nama Tag Heuer, sudah melakar dua kemenangan musim ini tetapi hubungan pasukan dengan syarikat Perancis itu mula bergolak sejak pengenalan enjin hybrid Turbo V6 pada 2014.

Honda pula bekerjasama dengan pemilik pasukan Toro Rosso dan berjaya meningkatkan prestasi enjin mereka sejak menamatkan perjanjian bersama Mc Laren.

Ketika Ricciardo menduduki tangga ketiga keseluruhan ketika ini, dia berdepan pelbagai masalah termasuk insiden kemalangan dengan rakan sepasukan, Max Verstappen selain ketinggalan 38 mata di belakang pendahulu dari Mercedes, Lewis Hamilton.

Pemandu Australia itu bakal menamatkan kontraknya hujung musim ini dan dia sendiri tidak sabar untuk melihat apa enjin yang bakal digunakan Red Bull musim depan.

“Perkara pertama ialah menyelesaikan soal enjin dan kemudian barulah kami akan memikirkan soal pemandu,” kata Horner.

“Secara jujur, saya menganggap kami tidak berhadapan masalah dengan casis,” tambahnya. “Masalah utama kami ialah seperti yang berlaku pada Sabtu... jika kami boleh meningkatkan aksi kami pada Sabtu, sudah tentu saingan kami akan menjadi lebih bagus lagi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 7:07 PM