PEMAIN beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying masih dalam proses mencari jurulatih. FOTO NSTP.
PEMAIN beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying masih dalam proses mencari jurulatih. FOTO NSTP.
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR : Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying masih dalam proses mencari jurulatih bagi membimbing mereka mengharungi saingan musim ini terutama apabila kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula Mei depan.

Walaupun sedar betapa pentingnya khidmat jurulatih, namun Peng Soon memberitahu mereka enggan terburu-buru membuat keputusan mengenai perkara itu kerana semuanya membabitkan kos dan penelitian khusus perlu dilakukan.

Ketika saingan Masters Thailand yang menyaksikan mereka muncul juara semalam, Peng Soon-Liu Ying dibantu beregu profesional lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang duduk di kerusi jurulatih di belakang gelanggang.

Mereka melakukan perkara sama apabila V Shem-Wee Kiong beraksi.

“Macam di Thailand, V Shem-Wee Kiong bantu kami semasa di gelanggang tetapi di sini (Masters Malaysia) perlu berbincang dulu tetapi mengenai jurulatih tetap kami belum tahu lagi.

“Kami perlu memikirkan banyak faktor sebelum memutuskan mengenai siapa menjadi jurulatih tetap kami,” kata Peng Soon.

Dalam pada itu, Peng Soon menganggap kejayaan merangkul kejuaraan sulung tahun ini di Masters Thailand selaku pemain bebas tidak banyak memberi kesan kepada mereka kerana tekanan dihadapi tetap sama.

Katanya, sebagai pemain profesional mereka bukan saja perlu memikirkan cara terbaik untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan sendiri tetapi perlu menguruskan segala hal bermula daripada penyertaan kejohanan sehingga pembelian tiket kapal terbang.

“Tidak banyak beza menang sebelum ini dan sekarang (sebagai pemain bebas) kerana tekanan tetap sama kerana kita sebagai pemain bebas perlukan kejuaraan juga.

“Jadi, disiplin itu sangat penting kerana dulu kami hanya pergi kejohanan sekarang semua kena uruskan sendiri,” katanya.

Peng Soon-Liu Ying akan turun dengan misi memburu gelaran kedua tahun ini apabila beraksi pada saingan Masters Malaysia bermula esok.

Mereka akan memulakan cabaran pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu menentang pemain pusingan kelayakan.

Peng Soon memberitahu, sasaran awal mereka di Malaysia Masters adalah mara ke suku akhir sebelum meneruskan misi mencari tempat di pentas final.

“Kalau ikut KPI kami, memang kami nak ke suku akhir dulu.

“Memang penting untuk kami bermain dengan cemerlang di depan penyokong sendiri terutama selepas bergelar pemain bebas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 6:16 PM