HAMIDIN MOHD AMIN
HAMIDIN MOHD AMIN
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan betapa mereka bersedia untuk menggunakan lebih ramai pemain naturalisasi bagi memperkasa skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Perkembangan itu diumumkan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi satu kenyataan susulan tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengurangkan tempoh Peraturan Pemain Naturalisasi kepada pemain Pahang, Mohamadou Sumareh, hari ini.

“Keputusan berkenaan boleh dianggap sebagai pembuka jalan buat FAM dalam merealisasikan pengambilan beberapa lagi pemain naturalisasi bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

“Perkembangan ini juga sudah pasti akan memberikan lebih motivasi buat Sumareh sendiri yang sudah pun dipanggil buat pertama kali untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe pada Isnin ini.

“Sokongan padu daripada pihak MFL yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim sememangnya sangat ditagih FAM dalam kita sama-sama berusaha untuk memperkasakan lagi skuad kebangsaan.

“Selain itu, pada masa yang sama ia dapat meningkatkan kualiti saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dikelolakan MFL,” katanya.

Terdahulu, juara Piala FA, Pahang akhirnya boleh menarik nafas lega selepas pemain import itu boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M musim depan.

Bagaimanapun, pemain itu hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 sekali gus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum boleh bertukar status pada jendela perpindahan kedua.

Sama ada kebetulan atau tidak, pengumuman MFL itu dibuat kira-kira tiga jam selepas pemain sayap itu mendapat panggilan menyertai kem latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan kelas ‘A’ menentang Sri Lanka pada 12 Oktober dan menentang Republik Kyrgyz pada 16 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:37 PM