MESSI (kanan) ledak dua gol pada aksi Barca menentang Espanyol. FOTO/AFP
MESSI (kanan) ledak dua gol pada aksi Barca menentang Espanyol. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Lionel Messi mencuri tumpuan apabila dua jaringannya menerusi sepakan percuma membantu Barcelona mengekalkan kelebihan di puncak La Liga Sepanyol dengan kemenangan 4-0 ke atas pasukan setempat Espanyol, awal pagi tadi.

Bintang Argentina itu meledak dua kali dan mengumpan satu gol untuk kemenangan di Stadium RCDE bagi memastikan pesaing terdekat Atletico Madrid dan Sevilla terus ketinggalan.

Atletico dan Sevilla terikat 28 mata dengan Barca selepas skuad kendalian Diego Simeone menewaskan Alaves 3-0 manakala kelab Andalusia itu seri 1-1 di Valencia.

Bagaimanapun Messi memastikan pasukan dibimbing Ernesto Valverde kembali mendahului dengan gandingan cemerlangnya bersama Luis Suarez dan Ousmane Dembele di barisan depan.

“Dia amat luar biasa,” kata Valverde. “Sepakan percuma, peluang gol yang diciptanya, apa yang dia berikan kepada kami dan apa yang dia lakukan kepada lawan.

“Ia masih awal, La Liga sangat sengit, tapi sasarannya adalah untuk tampil mantap di tempat lawan, memandangkan sukar untuk menang ke atas setiap pencabar.”

Messi membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi sepakan percuma yang melencong melepasi Diego Lopez dan membuka ruang buat Dembele untuk meledak gol kedua.

Dembele kemudian membuat umpanan kepada Suarez untuk gol ketiga sebelum rehat, disusuli gol sepakan percuma kedua Messi yang sekali lagi memerangkap penjaga gol Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 7:46 AM