SERAMAI 65,147 penyokong memenuhi SNBJ ketika Malaysia menewaskan Singapura 4-1, Selasa lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
SERAMAI 65,147 penyokong memenuhi SNBJ ketika Malaysia menewaskan Singapura 4-1, Selasa lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Thailand mengakui mereka kemungkinan melalui 'mimpi ngeri' apabila bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF menentang Malaysia, Sabtu ini.

Pengurus skuad Gajah Perang, Nualphan Lamsam berkata, SNBJ seolah-olah 'berpenunggu' apabila aura daripada puluhan ribu penyokong tuan rumah membangkitkan semangat pemain Harimau Malaya untuk mempamerkan aksi luar biasa.

Katanya, situasi terbabit menyebabkan Thailand yang juga bertahan Piala AFF sukar untuk mencipta kemenangan di venue keramat Harimau Malaya itu.

"Perlawanan terbabit (menentang Malaysia) cukup sukar kerana kita akan mengharungi tekanan cukup tinggi bermain di Bukit Jalil di depan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

"Mengikut rekod, sebelum ini Thailand sukar untuk menumpaskan Malaysia di stadium itu kerana skuad Harimau Malaya beraksi cukup konsisten.

"Apa yang boleh kami lakukan adalah melakukan persiapan rapi membabitkan mental dan fizikal untuk mengharungi perlawanan mencabar itu.

"Peraturan pertandingan menetapkan gol tempat lawan diambil kira menyebabkan kita perlu berusaha mencipta jaringan di Bukit Jalil," katanya.

Malaysia melepasi halangan peringkat kumpulan selepas melakar kemenangan bergaya 4-1 ke atas Singapura, sekali gus menebus kegagalan edisi lalu apabila terkandas di pusingan awal.

Aksi timbal balik separuh akhir kedua akan diadakan di Bangkok pada Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 7:38 PM