PEMAIN Malaysia, Muhammad Akram Mahinan membuat hantaran ketika perlawanan peringkat kumpulan AFF Suzuki Cup 2018 antara Malaysia menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Asyraf Hamzah
PEMAIN Malaysia, Muhammad Akram Mahinan membuat hantaran ketika perlawanan peringkat kumpulan AFF Suzuki Cup 2018 antara Malaysia menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Asyraf Hamzah
Firdaus Hashim


NILAI: Magis ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe sekali lagi ditagih bagi memastikan bekalan selesa mampu diraih pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Tonggak tengah skuad Harimau Malaya, c yakin Cheng Hoe yang juga bekas jurulatihnya ketika di Kedah mempunyai sentuhan 'ajaib' untuk memastikan Malaysia mampu mengatasi skuad Gajah Perang dalam pertemuan itu.

Lantas, dia berharap rakan sepasukan akan mengikuti segala arahan Cheng Hoe yang dijangka melakukan beberapa perubahan dalam permainan.

"Ia, saya sudah lama mengenali jurulatih sejak di Kedah lagi. Saya tahu beliau mempunyai sentuhan istimewa yang boleh menyusun strategi terbaik bagi menghadapi aksi menentang Thailand nanti.

“Kita akan mengintai dan mencari kelemahan lawan untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Saya harap kami mampu melakar satu lagi kejutan untuk menang selepas menang dengan Myanmar,” kata Akram.

Malaysia berdepan laluan sukar selepas dijadualkan menentang juara bertahan, Thailand pada aksi separuh akhir kempen Piala AFF kali ini.

Thailand mara ke separuh akhir selepas menang selesa 3-0 ke atas Singapura pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Rajamangala, Bangkok, sekali gus muncul juara kumpulan.

Malaysia pula mara ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan A selepas menang selesa 3-0 ke atas Myanmar pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Perlawanan separuh akhir kedua berlangsung di Bangkok pada 5 disember.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 8:52 PM