RONALDO (dua dari kanan) bersama Chiellini serta rakan sepasukan meraikan kemenangan ke atas Valencia, awal pagi hari ini, sekali gus layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. - Reuters.
RONALDO (dua dari kanan) bersama Chiellini serta rakan sepasukan meraikan kemenangan ke atas Valencia, awal pagi hari ini, sekali gus layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. - Reuters.
AFP

TURIN: Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri memuji impak dibawa Cristiano Ronaldo terhadap juara Itali itu yang mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara susulan kemenangan 1-0 ke atas Valencia, awal pagi hari ini.

Kemenangan turut menyaksikan penyerang bintang Portugal itu menjadi pemain pertama meraih kemenangan ke-100 dalam kancah elit Eropah itu.

“Ronaldo memberikan kami rasa selamat dan keyakinan,” kata Allegri mengenai skuad kendaliannya yang tewas dua kali di pentas final daripada empat edisi terakhir Liga Juara-Juara sebelum ini.

“Pasukan secara dasarnya masih sama seperti musim lalu. Kami berkembang, menjadi lebih pantas terhadap bola, tetapi sudah tentu ada Cristiano Ronaldo.

“Pasukan meningkat secara konsisten, hantaran dan corak permainan mereka menjadi lebih pantas.”

Ronaldo yang menyertai Juventus musim panas lalu dari Real Madrid sedang memburu gelaran keenamnya dalam kancah Liga Juara-Juara selepas menjulangnya sebanyak empat kali di Sepanyol dan satu bersama Manchester United.

Juventus pula memburu trofi ketiga dan pertama mereka sejak 1995 dengan kempen mereka pada musim lalu berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Real.

Kapten Juventus, Giorgio Chiellini turut memuji kehadiran Ronaldo dengan berkata: “Kamu dapat melihat kami ketika ini lebih bersatu termasuk di bahagian serangan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 6:40 PM