HAFIZH pada sidang media MotoGP 2018 di Litar Sepang. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
HAFIZH pada sidang media MotoGP 2018 di Litar Sepang. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak


SEPANG: Cita-cita Hafizh Syahrin Abdullah untuk beraksi dalam kelas MotoGP di laman sendiri akhirnya tercapai dengan dia bertekad menggegarkan Grand Prix (GP)  Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula, esok.

Detik ini sudah ditunggu lama oleh pelumba Monster Yamaha Tech3 itu dan dia berharap dapat mempersembahkan tunggangan meyakinkan di depan penyokong sendiri yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepadanya.

"Tahun bersejarah bagi sukan permotoran di Malaysia, kali pertama bagi saya beraksi dalam kelas perdana di tanah air sendiri.

"Ini cita-cita yang saya impikan sebagai pelumba MotoGP dan (di Sepang) saya hanya mencabar diri saya selain berharap dapat buat yang terbaik," katanya.

Mengulas mengenai jangkaan hujan di Sepang sepanjang minggu ini, Hafizh berkata, dia lebih menggemari perlumbaan dalam keadaan trek kering berbanding basah.

"Kalau hujan, mungkin saya perlu belajar secepat mungkin kerana saya tak ada pengalaman dalam hujan dengan jentera Motogp ini.

"Sekiranya kering, saya sudah mempunyai pengalaman, walaupun tak banyak tetapi semakin meningkat.

"Apapun, saya akan buat yang terbaik dan harap minggu ini, minggu yang sangat bermakna untuk saya menamatkan perlumbaan dalam kelompok terbaik," katanya.

Selepas 17 pusingan musim, Hafizh ketika ini berada di tangga ke-18 dengan 34 mata dalam senarai keseluruhan kelas perdana itu.

Pelumba berusia 24 tahun itu juga sedang bersaing sengit dalam perebutan gelaran pelumba Muka Baharu Terbaik dengan Franco Morbidelli dari Itali.

Ketika berbaki dua pusingan lagi - GP Malaysia dan Valencia - Hafizh ketinggalan 12 mata di belakang Morbidelli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 8:41 PM