CAVANI puas selepas gol jaringannya menumpaskan  Wales. FOTO/AFP
CAVANI puas selepas gol jaringannya menumpaskan Wales. FOTO/AFP
AFP

NANNING, China: Penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Uruguay menewaskan Wales 1-0 pada Piala China.

Pasukan Amerika Selatan itu nyata lebih baik berbanding skuad kendalian Ryan Giggs yang bergelut untuk menampilkan semula persembahan mereka ketika menewaskan tuan rumah China 6-0 Khamis lalu pada separuh akhir.

Perlawanan terbuka dan bercorak serangan di Nanning bermula dengan baik apabila cubaan Luis Suarez terkena palang selepas menerima hantaran rendah hanya selepas dua minit.

Sepakan penyerang Barcelona itu kemudiannya sekali lagi terkena palang pada minit ke-31 apabila melepasi pertahanan Wales dan mengelirukan penjaga gol Wayne Hennessey.

Bagaimanapun bekas penyerang Liverpool itu menyepak ke palang ketika gawang sudah terbuka.

Cavani mengejutkan Hennessey pada minit ke-36 menerusi sepakan deras dari luar kotak penalti manakala cubaan pemain tengah Wales, Andy King juga diselamatkan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera.

Peluang terbaik Wales hadir pada minit ke-45 apabila Gareth Bale menyambung hantaran lintang Harry Wilson tetapi melepasi palang.

Gol bagaimanapun hadir pada minit ke-49 apabila hantaran jauh mengatasi pertahanan Wales menemui Cristian Rodriguez yang melorongkan bola buat Cavani yang meledak jaringan ke-100 buat negaranya dan membantu Uruguay mendahului 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 9:46 AM