PEMAIN Leipzig Dayot Upamecano (tengah) meloloskan diri daripada pemain Dortmund. FOTO/EPA
PEMAIN Leipzig Dayot Upamecano (tengah) meloloskan diri daripada pemain Dortmund. FOTO/EPA
Reuter

BERLIN: Borussia Dortmund berjaya mengetepikan RB Leipzig 4-1 selepas bangkit dari ketinggalan satu gol sekali gus membolehkan mereka memulakan aksi Bundesliga dengan kemenangan di bawah kendalian jurulatih baru, Lucien Favre dan mengesahkan status selaku pencabar kejuaraan liga.

Selepas bermula dengan agak goyang apabila Jean Kevin Augustin membuka jaringan buat Leipzig pada awal permainan, Dortmund bangkit meledak tiga gol dalam tempoh 22 minit.

Tandukan Mahmoud Dahoud pada minit ke-21 membolehkan mereka menyamakan kedudukan dan gol sendiri Marcel Sabitzer berpunca dari sepakan sudut Marcus Reus di minit ke-41 menyaksikan Dortmund mendahului permainan sambil Leipzig bergelut mencari rentak.

Bintang baru, Axel Witsel yang berjaya mencipta nama sebagai penjaring di Piala Jerman minggu lalu, menambah gol ketiga melalui gerakan akrobatik dua minit kemudian dan ketua pasukan, Marco Reus melengkapkan jaringan ke-100 Bundesliga pada masa kecederaan separuh masa kedua.

“Leipzig lebih baik berbanding kami pada permulaan perlawanan dan kami tidak bertahan dengan baik. Bagaimanapun, kami menunjukkan tindak balas yang bagus.

“Saya tidak mahu katakan kami bernasib baik tapi semuanya berjalan lancar buat kami,” kata Favre.

Dortmund yang akan beraksi di Liga Juara-Juara, tidak perlu bekerja keras pada separuh masa kedua kecuali menghalang pasukan lawan memasuki petak penalti.

Leipzig dilihat agak tumpul di bahagian serangan dan percubaan penyerang mereka, Timo Werner digagalkan penjaga gol, Roman Buerki pada minit akhir perlawanan sebelum Reus melengkapkan permulaan Dortmund dengan kemenangan melalui penyudah yang tenang.

Mainz 05, juga memulakan aksi musim baru dengan kemenangan selepas mengalahkan VfB Stuttgart 1-0 hasil jaringan Anthony Ujah pada minit ke-76.

Penyandang juara, Bayern Munich memulakan musim baru dengan kemenangan 3-1 ke atas Hoffenheim Jumaat lalu, manakala naib juara, Schalke 04 tumpas 1-2 kepada VfL Wolfsburg.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 10:54 AM