PEMAIN perseorangan Malaysia, Liew Daren. FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN perseorangan Malaysia, Liew Daren. FOTO Eizairi Shamsudin
Helmi Talkah


SELEPAS namanya disahkan ke Sukan Asia Indonesia 2018, Liew Daren berjanji akan membalas kepercayaan itu dengan menghadiahkan kilauan pingat kepada skuad badminton negara pada temasya itu yang akan berlangsung pada 19 hingga 28 Ogos ini.

Pemain perseorangan lelaki profesional itu, berkata walaupun sedar ia tanggungjawab yang cukup besar tetapi dia menyifatkan perkara berkenaan sebagai motivasi buat dirinya untuk memberikan aksi terbaik dalam dua acara - berpasukan dan perseorangan lelaki.

"Saya berterima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana memberi peluang dan kepercayaan ini. Saya sendiri tidak sangka dapat mewakili Malaysia ke Sukan Asia tahun ini, saya rasa bangga diberi penghormatan ini.

"Saya tahu tanggungjawab ini besar tetapi ia bukan alasan. Saya sendiri meletakkan sasaran untuk menghadiahkan pingat kepada skuad negara tidak kira dalam acara berpasukan atau perseorangan lelaki," kata Daren yang kini bernaung dengan Akademi Badminton Air Asia.

Semalam, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan mereka menyenaraikan juara Terbuka Perancis 2012 itu bagi menggantikan tempat Lee Chong Wei yang menarik diri kerana masalah kesihatan, susulan prestasi luar biasa yang ditunjukkannya pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China yang berakhir, Ahad lalu.

Pemain ranking ke-39 dunia itu membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meraih gangsa dalam kejohanan di Nanjing itu yang menyaksikan dia terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada bintang Jepun, Kento Momota yang dinobatkan sebagai juara dunia.

Ditanya mengenai kecederaan buku lali yang dialaminya ketika Kejohanan Dunia, Daren berkata ia tidak serius dan laporan perubatan mengesahkan dia boleh beraksi pada temasya di Jakarta itu.

"Tidak serius dan saya boleh bermain, saya dijangka menjalani latihan bersama skuad negara bermula minggu depan sebelum berlepas ke Jakarta. Saya sudah menyatakan komitmen dan saya akan berlatih bersama pemain lain bermula minggu depan," kata Daren.

Selain Daren, cabaran skuad lelaki negara ke Sukan Asia akan turut diperkuatkan dengan tiga lagi pemain perseorangan, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven.

Saingan beregu pula Malaysia mempertaruhkan kepercayaan di atas bahu Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 10:38 AM