LIEW DAREN
LIEW DAREN
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Tanggungjawab besar digalas pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren apabila disahkan bakal beraksi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa menarik diri akibat masalah kesihatan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan Daren yang menghuni ranking ke-39 dunia apabila berjaya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China yang berakhir, kelmarin.

“Saya ingin memaklumkan perkembangan terbaru membabitkan persiapan skuad badminton ke Sukan Asia yang mana BAM membuat keputusan untuk menyenaraikan Daren bagi menggantikan tempat Chong Wei.

“Memandangkan hari ini adalah hari terakhir proses DRM (Mesyuarat Pendaftaran Delegasi), jadi kita buat pertukaran itu hari ini. Sepatutnya pertukaran hari ini adalah membabitkan Cheam June Wei yang sebelum ini diumumkan menggantikan Chong Wei namun selepas penilaian dibuat semula berdasarkan prestasi semasa Daren, jadi kami memilih dia untuk mewakili negara.

“Berdasarkan keputusan ini, Daren akan bermain untuk acara berpasukan dan individu bersama Lee Zii Jia. Mengenai kecederaan dialami Daren ketika Kejohanan Dunia, laporan perubatan mengesahkan ia tidak serius dan dia boleh bermain,” kata Norza ketika ditemui selepas majlis penajaan kasut rasmi untuk kontinjen negara ke Sukan Asia oleh Bata, hari ini.

Ditanya mengenai beregu lelaki muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut dipertimbangkan untuk di bawa ke Jakarta, Norza berkata badan induk itu mengekalkan gandingan yang sudah disenaraikan sebelum itu iaitu Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

“Kami tidak mahu mengambil risiko kerana Aaron-Wooi Yik ketika ini sedang beraksi pada Terbuka Vietnam dan mereka adalah pilihan pertama. Kami tidak mahu tahap kecergasan mereka terjejas disebabkan beraksi dalam tiga kejohanan berturut-turut (Kejohanan Dunia, Terbuka Vietnam dan Sukan Asia),” kata Norza.

BAM sebelum ini mengakui nama Aaron-Wooi Yik sedang dipertimbangkan untuk disenaraikan ke Sukan Asia selepas prestasi luar biasa ditunjukkan pasangan muda negara itu yang melakukan kejutan demi kejutan sebelum terkandas di suku akhir Kejohanan Dunia.

Dalam perkembangan lain, Norza turut mengesahkan pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying tetap akan beraksi di Jakarta selepas kecederaan achilles kaki kiri dialaminya disahkan tidak serius oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 7:43 PM