KAPTEN Croatia, Luka Modric meraikan kemenangan bersama peminat Croatia. Foto/AFP
KAPTEN Croatia, Luka Modric meraikan kemenangan bersama peminat Croatia. Foto/AFP
AFP

KAPTEN Croatia, Luka Modric berkata, pasukannya mempamerkan karakter untuk melangkah ke ‘satu lagi drama’ selepas meraih kemenangan ke atas Russia menerusi penentuan sepakan penalti bagi menempah perlawanan dengan England di separuh akhir Piala Dunia, hari ini.

Anak buah Zlatko Dalic seakan sudah meraih kemenangan apabila bek tengah, Domagoj Vida meletakkan mereka sebagai pendahulu pada masa tambahan namun impian itu dimusnahkan pemain Russia, Mario Fernandes untuk menjamin keputusan penuh 2-2 sebelum diheret ke penentuan sepakan penalti.

“Satu lagi drama buat kami,” kata pemain tengah Real Madrid, Modric. “Kami tidak bermain dengan baik pada babak pertama, kami tidak mengawal permainan seperti dimahukan.

“Daripada awal babak kedua kami bermain lebih baik tetapi malangnya kami tidak mampu menamatkan permainan ini.”

Croatia juga memerlukan penentuan sepakan penalti ketika menewaskan Denmark dalam aksi 16 terbaik tetapi Modric menegaskan mereka mempunyai cukup masa rehat untuk aksi empat terbaik menentang England di Stadium Luzhniki di Moscow, Rabu ini.

“Kami sekali lagi menunjukkan karakter,” katanya. “Kami di separuh akhir dan kami akan menikmati perlawanan. Kami mempunyai masa yang cukup untuk berehat dan bersiap sedia.”

Ini adalah kali kedua Crotia mara ke separuh akhir Piala Dunia sejak negara itu meraih kemerdekaan, menamatkan temasya di tangga ketiga pada tahun 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 8:04 AM