LUKA Modric dan Ivan Perisic ketika sesi latihan. Foto/REUTERS
LUKA Modric dan Ivan Perisic ketika sesi latihan. Foto/REUTERS
AFP

“KAMI sering mendengar soalan sama dan kami memberikan jawapan yang serupa,” kata pemain Croatia, Ivan Perisic.

Setiap kali pemain Croatia berdepan media di Piala Dunia, dia tahu soalan berkenaan Luka Modric akan timbul dan setiap kali juga jawapannya adalah berkenaan rasa kagum rakan sepasukan terhadap kapten mereka itu.

Pemain 32 tahun itu tampil cemerlang dalam laluan pasukannya ke separuh akhir bertemu England di Moscow awal pagi Khamis waktu Malaysia muncul sebagai pemain terbaik dalam tiga daripada lima perlawanan Croatia setakat ini.

Modric meledak dua kali di Russia, termasuk jaringan menarik dalam kemenangan 3-0 ke atas Argentina di peringkat kumpulan dan dua kali menyempurnakan sepakan penalti ketika menewaskan Denmark dan Russia dalam penentuan penalti.

Ketenangan dipamerkan perancang Real Madrid itu dalam pertembungan 16 terakhir menentang Denmark cukup mengagumkan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti di akhir masa tambahan, dia tampil menebus kesilapannya dalam penentuan penalti selepas itu.

Selepas sekali lagi tampil cemerlang ketika Real menjuarai trofi Liga Juara-Juara keempat dalam tempoh lima musim dengan menewaskan Liverpool di Kiev Mei lalu, Modric calon utama memenangi Ballon d’Or sekiranya dia mampu membawa Croatia menjuarai Piala Dunia.

“Saya mengenali Luka sudah lama, bukan hanya bersama pasukan kebangsaan. Kami juga bermain di peringkat kelab,” kata penyerang Croatia Mario Mandzukic yang pernah bersama Modric di Dinamo Zagreb sedekad lalu sebelum Modric menyertai Tottenham Hotspur.

“Dia berhak mendapat semua pengiktirafan dari media dan masyarakat. Dia bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.

“Dia adalah kapten kami, pemimpin kami, kami mengikut arahannya dan jika pasukan mendapat keputusan baik dan dia menerima Ballon d’Or, dia memang berhak dan saya mahu mendapatkannya untuknya,” kata Mandzukic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 8:40 AM