DIEGO Costa meraikan gol kemenangan Sepanyol. Foto REUTERS
DIEGO Costa meraikan gol kemenangan Sepanyol. Foto REUTERS
AFP

PENYERANG Sepanyol, Diego Costa menafikan dakwaan dia sengaja memijak penjaga gol Iran, Ali Beiranvand pada aksi bertemu Iran dan mengakui jaringan kemenangannya itu adalah lebih kepada ‘tuah’. 

Bergelut untuk memecah kekentalan benteng skuad Singa Persia itu, Costa mencetuskan kontroversi pada babak pertama apabila dia berjalan ke arah penjaga gol Persepolis itu ketika bersedia untuk mengambil tendangan gol. 

Penggempur Atletico Madrid itu dilihat datang begitu hampir dengan kaki Beiranvand, sekaligus menyebabkan ‘penjaga gol itu meronta kesakitan dan terbaring di atas padang.’

Tindakan itu bagaimanapun tidak dihukum pengadil dari Uruguay, Andres Cunha dan Costa akhirnya meledak jaringan gol kemenangannya pada minit ke-54, menerusi percubaan yang terbias melepasi kaki pertahanan Iran, Ramin Rezaeian.

Ditanya mengenai insiden terbabit, Costa menegaskan Iran menjadi dalangnya. “Perlawanan mana yang anda saksikan tadi?’,” kata Costa kepada wartawan Sepanyol.

“Mereka melakukan provokasi kepada kami. Kami sentiasa berada di atas padang. Anda tidak boleh katakan sebegitu kerana ini adalah pasukan kebangsaan anda.” 

Costa kini meledak tiga gol dalam dua perlawanan sekaligus hanya ketinggalan di belakang penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo yang menjaringkan empat gol dalam dua aksi setakat ini.

Katanya “saya tidak bersaing dengannya (Ronaldo). 

Namun bekas penyerang Chelsea itu mengakui dia bernasib baik untuk meledak jaringan tunggal perlawanan itu.

“Saya bertuah dengan jaringan itu tetapi saya gembira kerana ia adalah perlawanan yang begitu sengit. Apa yang mustahak adalah kami memenangi perlawanan ini.” 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 8:12 AM