MOURINHO optimis Brazil dan Jerman mampu kembalikan semula momentum kemenangan. FOTO/AFP
MOURINHO optimis Brazil dan Jerman mampu kembalikan semula momentum kemenangan. FOTO/AFP
Reuters

MOSCOW: Jose Mourinho menggambarkan “hari menakjubkan untuk bola sepak” selepas dua pasukan pilihan, Jerman dan Brazil gagal memenangi perlawanan pembukaan masing-masing di Piala Dunia 2018.

Begitupun, jurulatih Manchester United itu menjangkakan kedua-duanya akan bangkit susulan prestasi longlai yang ditampilkan.

Penyandang juara dunia, Jerman dipalit kekalahan mengejutkan 0-1 kepada Mexico di Moscow ketika Brazil diikat 1-1 oleh Switzerland di Rostov-on-Don.

Mourinho, yang bertugas sebagai penganalisis Piala Dunia di stesyen televisyen Russia Today, meluahkan rasa gembiranya terhadap keputusan itu tetapi menolak kedua-duanya akan ‘bungkus’ awal.

“Mereka semua akan layak dan permainan terbaik pasukan-pasukan utama ini akan terserlah pada peringkat kalah mati,” kata pengurus kelahiran Portugal itu.

“Saya fikir mereka tahu betapa bagusnya mereka. Saya fikir mereka semua tahu yang mereka perlu meningkat. Ia mungkin bagus untuk pasukan dan meletakkan mereka kembali ke dunia sebenar.

“Mungkin ia juga bagus untuk peminat mereka untuk terus bertenang.”

Jerman akan bertemu Sweden dalam aksi kedua Kumpulan F, Sabtu ini manakala Brazil perlu meningkatkan prestasi apabila menentang Costa Rica pada aksi Kumpulan E pada Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 1:12 AM