PEMAIN tengah Argentina, Manuel Lanzini digugurkan selepas mengalami kecederaan ACL. FOTO Agensi
PEMAIN tengah Argentina, Manuel Lanzini digugurkan selepas mengalami kecederaan ACL. FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN tengah Argentina, Manuel Lanzini terpaksa melupakan aksi di Piala Dunia selepas mengalami kecederaan lutut dalam sesi latihan hari ini.

"Manuel Lanzini mengalami kecederaan pada sesi latihan pagi. Lutut kanannya mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL)," jelas kenyataan daripada skuad kebangsaan itu menerusi Twitter.

Pusingan akhir Piala Dunia di Russia bakal bermula minggu depan dan pemain West Ham United berusia 25 tahun itu dijangka akan berada dalam kesebelasan utama skuad Jorge Sampaoli.

Argentina yang tewas pada final Piala Dunia di Jerman empat tahun lalu bergelut untuk melayakkan diri tahun ini apabila terpaksa mengharapkan kemenangan pada aksi terakhir.

Mereka diundi dalam Kumpulan D di mana akan memulakan kempen menentang Iceland pada 16 Jun, Croatia (21 Jun) dan Nigeria (26 Jun).

Lanzini yang sebelum ini turut mengalami kecederaan lutut di penghujung musim Liga Perdana Inggeris, beraksi dalam skuad utama ketika Argentina menang 4-0 ke atas Haiti dalam aksi persahabatan Mei lalu.

Argentina mengadakan latihan pusat di Barcelona, iaitu gelanggang penyerang Lionel Messi sebelum berlepas ke Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 9:34 PM