PENJAGA gol Tigres UANL kelab dari Mexico, Nahuel Guzman akan menjadi benteng terakhir pasukan Argentina di Piala Dunia Russia. FOTO Agensi
PENJAGA gol Tigres UANL kelab dari Mexico, Nahuel Guzman akan menjadi benteng terakhir pasukan Argentina di Piala Dunia Russia. FOTO Agensi
Reuters

ARGENTINA memanggil penjaga gol berpangkalan di Mexico, Nahuel Guzman untuk tugasan di Piala Dunia 2018 menggantikan Sergio Romero selepas penjaga gawang Manchester United itu mengalami kecederaan lutut ketika latihan, umum Persekutuan Bolasepak Argentina (AFA) sebentar tadi.

Guzman, yang beraksi dengan Kelab Tigres di Liga Mexico, akan menyertai rakannya dari Chelsea, Willy Caballero dan penjaga gawang River Plate, Franco Armani dalam skuad 23 pemain Argentina ke Russia.

Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli tidak mengambil masa lama memilih Guzman selepas mendapati  lutut Romero cedera ketika latihan di sini, semalam.

Romero, yang dijangka terpilih sebagai penjaga gawang utama skuad Argentina turut disahkan perlu menjalani pembedahan di lutut kanannya, umum AFA.

Kehilangan khidmat penjaga gawang berpengalaman itu satu tamparan buat skuad Argentina ketika benteng mereka agak rapuh seperti diperlihatkan dalam beberapa aksi persahabatan tahun ini. Argentina tewas 2-4 kepada Nigeria dan 1-6 di tangan Sepanyol.

Guzman, 32, yang juga bekas penjaga gol Newell Old Boys membantu pasukan Tigres muncul juara tiga kali dan sudah enam kali mewakili skuad kebangsaan dengan merakam satu kemenangan 6-0 ketika menewaskan Singapura dalam aksi persahabatan pada 2015.

Dia juga akan mewakili skuad kebangsaan negaranya untuk aksi persahabatan menentang Haiti di gelanggang Boca Juniors pada 29 Mei ini.

Argentina juga akan berdepan Israel pada 9 Jun sebelum berlepas ke Russia untuk mengharungi kempen Kumpulan D yang turut diisi pasukan Iceland, Croatia dan Nigeria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 1:56 PM