V SHEM, Wee Kiong perlu lebih berani dan pantas untuk kembali ke prestatsi terbaik. -Foto fail
V SHEM, Wee Kiong perlu lebih berani dan pantas untuk kembali ke prestatsi terbaik. -Foto fail
Helmi Talkah


BEREGU lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong perlu lebih berani, bijak dan pantas dalam usaha untuk kembali berada pada prestasi terbaik mereka.

Jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman, berkata tiga elemen itu menjadi fokus utamanya dalam mempersiapkan pasangan ke-17 dunia berkenaan menghadapi saingan Terbuka Malaysia yang berlangsung 26 Jun hingga 1 Julai depan.

“V Shem-Wee Kiong masing-masing ada kelebihan. Cuma, mereka perlu lebih berani untuk menterjemahkan kelebihan mereka itu dalam perlawanan dan pada masa yang sama mereka perlu bijak bagi mengatur strategi selain pergerakan mereka perlu lebih pantas.

“Ini penting bagi memastikan lawan tidak mudah membaca permainan mereka.

“Selepas tamat saingan Piala Thomas minggu lalu, saya ada lebih kurang empat minggu bagi mempersiapkan mereka menghadapi Terbuka Malaysia. Apa yang saya lakukan sekarang adalah fokus terhadap kemahiran individu mereka.

“Jika itu dapat ditingkatkan, ia sudah pasti mampu memantapkan kombinasi mereka,” kata Paulus kembali bersama skuad kebangsaan dan memulakan tugas sebagai jurulatih sejak April lalu.

V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 sehingga kini masih bergelut dengan prestasi tidak menentu dan aksi hambar mereka ketika saingan Piala Thomas dianggap menjadi punca kegagalan skuad negara mencapai sasaran ke separuh akhir.

Malaysia tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada Indonesia 1-3.

Bagaimanapun, Paulus tetap mempertahankan anak buahnya itu apabila menyifatkan mereka sudah menunjukkan peningkatan terutama dari aspek komunikasi ketika di gelanggang.

“Kami akan cuba untuk mengatasi segala kelemahan yang ada. Saya percaya V Shem-Wee Kiong akan kembali berada pada tahap prestasi terbaik mereka dan saya berharap kita dapat menyaksikan V Shem-Wee Kiong yang berbeza pada Terbuka Malaysia nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 3:23 PM