PATTY TAVATANAKIT
PATTY TAVATANAKIT
Reuters

SHOAL CREEK, Amerika Syarikat: Pemain golf remaja Thailand Patty Tavatanakit meletakkan dirinya dalam kelompok elit dengan catatan dua bawah par 70 pada pusingan pertama Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Pemain amatur yang bermain di peringkat Universiti California Los Angeles (UCLA) itu mempamerkan aksi setanding pemain-pemain profesional dengan hanya melakukan satu bogey di lapangan Shoal Creek.

Tavatanakit berkata dia dan beberapa pemain muda Thailand mendapat inspirasi daripada adik beradik Jutanugarn, Ariya dan Moriya, yang sudah mengumpul sembilan gelaran LPGA - lapan daripada Ariya dan satu oleh Moriya.

“Ia membangkitkan semangat kami, generasi muda untuk turut berada di atas sana,” kata Tavatanakit yang menamatkan pusingan pertama tiga pukulan di belakang pendahulu, Ariya.

Ini adalah kejohanan profesional pertama tahun ini buat Tavatanakit, 18, yang baru saja menamatkan tahun pertama pengajian di UCLA.

Dia adalah salah seorang daripada tujuh pemain Thailand yang beraksi di Terbuka Wanita AS.

Ariya, ketika ini menduduki ranking kelima dunia, pernah bergelar pemain nombor satu dunia, manakala Moriya berada di ranking kesembilan.

Pemain Thailand pertama menyertai siri Jelajah LPGA ialah Pornanong Phatlum yang sudah hampir sedekad mengikuti kejohanan itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 8:34 AM