CHEN Long (kanan) menjawab soalan media turut bersama pemain wanita Chen Yufei (China) pada sidang akhbar Kejohanan Badminton Piala  Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok . -Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
CHEN Long (kanan) menjawab soalan media turut bersama pemain wanita Chen Yufei (China) pada sidang akhbar Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok . -Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
Daripada Fabian Peter

DIPERKUATKAN kehadiran juara dunia lima kali, Lin Dan dan juara Olimpik, Chen Long, China meletakkan sasaran untuk kembali merampas gelaran Piala Thomas selepas gagal melakukannya dalam dua edisi terakhir sebelum ini.

Ketua jurulatih, Xia Xuanze mengakui ia adalah lebih mencabar untuk juara sembilan kali itu merangkul kejuaraan tahun ini tetapi menegaskan anak buahnya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik bagi menjulang trofi berprestij berkenaan.

Dilabel pasukan pilihan, China diundi dalam Kumpulan A bersama India, Perancis dan Australia.

“Saya rasa setiap tahun adalah berbeza. Kami tidak memenangi Piala Thomas sejak dua edisi sebelum ini dan tahun ini ia akan menjadi lebih mencabar untuk pasukan.

“Bagaimanapun, sasaran kami adalah untuk muncul juara. Kami akan buat yang terbaik sebagai satu pasukan dan cuba memenanginya,” kata Xuanze ketika sidang media menjelang saingan Piala Thomas 2018 yang akan bermula esok.

Sebelum kecundang pada edisi 2014, China dinobatkan juara Piala Thomas sebanyak lima kali berturut-turut sejak 2004.

Bagaimanapun, nasib lebih baik dialami skuad wanita China yang mendominasi saingan Piala Uber sejak sekian lama tetapi Xuanze tetap bimbang dengan ancaman daripada Jepun yang turun sebagai pilihan utama.

“Ia juga satu cabaran untuk pasukan wanita kami mempertahankan gelaran juara. Ada beberapa negara yang sangat kuat tahun ini. Untuk saingan Piala Thomas, kami bersaing dengan negara seperti Denmark, Indonesia dan Malaysia,” kata Xuanze.

China akan membuka tirai saingan Piala Thomas menentang Australia, esok manakala skuad wanita bertemu Perancis dalam aksi Kumpulan D pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 7:50 PM