AKSI pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia bersama Wooi Yik Soh  ketika bertemu pemain Algeria. FOTO/ MOHD YUSNI ARIFFIN
AKSI pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia bersama Wooi Yik Soh ketika bertemu pemain Algeria. FOTO/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Daripada Fabian Peter di Bangkok

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mungkin akan mewujudkan semula jawatan Pengarah Teknikal selepas prestasi hambar skuad Piala Thomas dan Uber negara di Bangkok.

Semalam skuad Piala Thomas negara gagal untuk memenuhi sasaran melangkah ke separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada Indonesia pada suku akhir di Arena Impact, Muang Thong Thani.

Skuad Piala Uber sebelum itu gagal melangkah ke suku akhir selepas sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui Malaysia gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan dan adalah amat penting untuk melihat semula struktur terkini bagi menamatkan kemarau gagal memenangi piala berprestij itu.

“Kami mengakui gagal memenuhi sasaran. Jadi amat penting untuk kami mengadakan pasca nilai bagi melihat bagaimana kami boleh meningkatkan prestasi pada edisi seterusnya.

“Saya percaya berdasarkan apa yang dapat disaksikan di sini, kami kini perlu fokus kepada pemain muda. Jika kami terus meletakkan harapan kepada pemain senior, kami akan gagal,” katanya.

Norza bagaimanapun memuji pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang terus konsisten mempamerkan prestasi terbaik.

“Pada usia 36 tahun, dia membuktikan dia masih lagi terbaik.”

Pada perlawanan bertemu Denmark, Chong Wei menewaskan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dan kemudian sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan menewaskan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada suku akhir.

Jelas Norza, sudah tiba masanya BAM memberi perhatian serius kepada pemain muda berusia bawah 22 tahun untuk mempersiapkan pasukan menghadapi edisi seterusnya.

“Saya tidak tahu apa langkah terbaik tapi mungkin kami akan memperkenalkan semula pengarah teknikal. Apa pun segala-galanya terpulang kepada perbincangan ketika sesi pasca nilai nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 8:21 PM