REED menamatkan sembilan lubang pertama dengan tiga birdie berturut-turut. FOTO/AFP
REED menamatkan sembilan lubang pertama dengan tiga birdie berturut-turut. FOTO/AFP
AFP

AUGUSTA, Amerika Syarikat: Patrick Reed beraksi cemerlang dalam keadaan sukar untuk mencipta kelebihan dua pukulan selepas pusingan kedua golf Masters sebentar tadi, manakala Tiger Woods masih bergelut untuk layak.

Reed, yang berkongsi kedudukan kedua pada Kejuaraan PGA tahun lalu, menamatkan sembilan lubang pertama dengan tiga birdie berturut-turut dan kemudian merakam tiga lagi birdie di sembilan lubang terakhir.

Aksi cemerlang itu menyaksikan dia merekodkan 6 bawah par 66 dan kekal 9 bawah par 135, selepas 36 lubang dalam saingan yang berlangsung di lapangan Augusta National.

“Saya seperti meletakkan diri saya jauh daripada masalah dan membiarkan putter saya melakukan semua kerja,” kata Reed.

“Saya meletakkan ia di kedudukan yang betul dan membolehkan saya agresif dengan putter,” katanya.

Satu-satu kelebihan awal diraih Reed selepas 36 lubang ialah pada Terbuka Amerika Syarikat 2015.

“Saya pernah berada dalam posisi seperti ini,” kata Reed. “Ia hanya satu lagi hari di lapangan.”

Pemain nombor 24 dunia itu muncul pemain tunggal selepas Ernie Els pada 2015 melakukan birdie atau lebih baik dalam semua empat lubang par 5 di Augusta dalam dua hari pertama.

Pemain Australia, Marc Leishman berada di kedudukan kedua dengan 137 pukulan selepas melakukan 67 pukulan manakala pemain Sweden, Henrik Stenson ketiga dengan 139.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 9:45 AM