TIGER Woods sedang melakukan pukulan pada hari pertama kejohanan AS PGA Quicken Loans National. Foto AFP
TIGER Woods sedang melakukan pukulan pada hari pertama kejohanan AS PGA Quicken Loans National. Foto AFP
AFP

WALAUPUN sekadar menamatkan hari pertama kejohanan AS PGA Quicken Loans National dengan catatan par 70, Tiger Woods tetap gembira apatah lagi dia tidak pernah menggunakan putter barunya dalam aksi kompetitif sebelum ini.

Juara 14 kejohanan utama itu yang beraksi di kejohanan ke-11 sejak menjalani pembedahan belakang itu ketinggalan tujuh pukulan di belakang pendahulu bersama, Andrew Landry dan JJ Spaun selepas 18 lubang di lapangan TPC Potomac.

“Saya tidak berpeluang untuk memberikan catatan lebih baik buat diri sendiri,” kata Woods. “Saya melakukan beberapa birdie dan ia cukup seronok tetapi saya sepatutnya memberikan peluang yang lebih baik kepada diri sendiri.”

Woods yang dilaporkan tidak gembira dengan pukulan putt sejak berkongsi kedudukan di tangga ke-32 kejohanan Masters, mula menggunakan putter jenama Ardmore sejak minggu lalu bagi menggantikan Scotty Cameron miliknya walaupun putter itulah yang sering membantunya memenangi 13 kejohanan utama sebelum ini.

“Pukulan putt saya kali ini lebih baik,” kata Woods. “Saya lebih serasi dengan jenama ini dan saya seronok menggunakannya.

“Pukulan putt saya lebih menjadi dan kelajuan yang dihasilkannya juga selaras dengan apa yang saya mahukan. Sudah lama saya tidak melakukan pukulan putt sebegini. Justeru, ia adalah petanda baik dan saya perlu mengekalkannya. Saya harap selepas ini ia akan lebih tepat ke lubang.”

Woods mencatat bogey berganda di lubang 6 tetapi bintang Amerika Syarikat berusia 42 tahun itu kembali membenam birdie di lubang 14 dan 16.

“Saya berjaya mencatat pukulan yang sepatutnya saya lakukan,” kata Woods. “Saya tidak boleh mengharapkan lebih daripada ini dalam keadaan sekarang.”

Sementara itu, Landry serta Spaun masing-masing mencatat 63 pukulan sekali gus melakar rekod lapangan dan memiliki kelebihan satu pukulan berbanding Billy Horschel dan Andrew Putnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 9:20 AM