GUARDIOLA (kiri) mahu City serang kubu Liverpool habis habisan. FOTO/AFP
GUARDIOLA (kiri) mahu City serang kubu Liverpool habis habisan. FOTO/AFP
AFP

PENGENDALI Manchester City Pep Guardiola berjanji akan berpegang kepada corak permainannya dan menyerang Liverpool habis-habisan dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi nanti, walaupun menyedari itu yang diharapkan lawannya.

Liverpool satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu musim ini dengan kemenangan 4-3 di Anfield Januari lalu.

Gandingan tiga penyerang tuan rumah yang cukup digeruni - Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane - semuanya menemui sasaran pada pertemuan tempoh hari dan ketiga-tiga bergabung meledak 75 gol untuk Liverpool musim ini.

Bagaimanapun corak permainan menyerang Guardiola menjelmakan kejayaan di mana-mana saja pengendali itu berada, dari Barcelona, Bayern Munich dan sekarang City.

Dan dia percaya itu jalan terbaik untuk City mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali kedua, tetapi yang kelapan dirinya sepanjang sembilan musim sebagai pengendali di liga-liga utama Eropah.

“Saya tahu cara kami bermain amat sempurna buat Liverpool kerana mereka sebuah pasukan yang menyerang dari ruang terbuka tidak seperti pasukan-pasukan lain di dunia, terutamanya Mane, Salah, Firmino, mereka sangat bagus,” kata Guardiola.

“Tetapi saya rasa cara terbaik untuk menang ialah dengan cara yang kami cuba lakukan sejak tiba di sini.”

Pengendali Liverpool Jurgen Klopp juga mempunyai rekod terbaik berbanding pengendali lain dalam keupayaan menewaskan skuad kendalian Guardiola.

Dalam 12 pertemuan antara mereka sebelum ini, Klopp menang enam kali manakala Guardiola lima kali.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 12:55 PM