Pengurus City, Pep Guardiola. FOTO AFP
Pengurus City, Pep Guardiola. FOTO AFP
Reuters

MANCHESTER City mungkin belum mampu memenangi Liga Juara-Juara musim ini, kecuali jika barisan serangan lebih ‘tajam’ di depan gawang gol kata pengurusnya, Pep Guardiola.

Pengendali dari Sepanyol itu berkata demikian selepas pasukannya mencatat kemenangan di gelanggang lawan 2-0 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana, Sabtu lalu.

Gabriel Jesus dan David Silva kedua-duanya meledak ketika City mencatat kemenangan selesa di Selhurst Park pada Sabtu, membolehkan pasukan di tangga kedua Guardiola menghampiri jurang dengan pendahulu liga Liverpool menerusi enam mata.

Penyerang Manchester City, Gabriel Jesus. FOTO Agensi
Penyerang Manchester City, Gabriel Jesus. FOTO Agensi

Jaringan Jesus menentang Palace adalah jaringan ke-50 pemain Brazil itu buat City tetapi Guardiola turut menyalahkan pemain berusia 22 tahun itu apabila terlepas banyak peluang menjaringkan gol pada perlawanan itu.

“(Jesus) masih terlalu muda,” kata Guardiola. “Kami terlepas banyak peluang. Kami harus memanfaatkan peluang menjaringkan gol. Apabila orang bercakap mengenai sasaran Liga Juara-Juara yang menjadi keutamaan, kami masih belum sedia.. kami masih boleh meningkatkan prestasi.”

City mendahului carta penjaring liga dengan 29 gol musim ini, tujuh gol melebihi Liverpool, dan di sebalik kritikannya, Guardiola berkata dia berbangga dengan usaha yang ditunjukkan barisan penyerangnya.

Jesus disenaraikan dalam kesebelasan utama berdepan Palace bagi menggantikan pemain kebangsaan Argentina, Sergio Aguero yang ditimpa musibah kecil selepas terbabit dalam kemalangan kereta ketika dalam perjalanan menuju gelanggang latihan pada Khamis.

“Untuk bersaing dengan Sergio mungkin adalah satu perkara yang sukar... tetapi Gabriel sangat tenang,” tambah Guardiola.

“Setiap sesi latihan dia berjuang habis-habisan tetapi dia boleh meningkatkan mutu permainannya.”

Aksi seterusnya City dalam saingan Liga Juara-Juara, apabila menerima kunjungan wakil Itali, Atalanta pada awal pagi Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 1:48 PM