GUARDIOLA semakin hampir untuk menjulang gelaran juara liga keempat musim ini. -FOTO AFP
GUARDIOLA semakin hampir untuk menjulang gelaran juara liga keempat musim ini. -FOTO AFP
AFP

Manchester: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui memenangi Liga Perdana Inggeris lebih sukar daripada menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah.

City berada di ambang untuk menjulang kejuaraan domestik keempat mereka dari lima musim dengan kemenangan di laman sendiri menentang Aston Villa pada perlawanan terakhir musim akan mengesahkan kejuaraan mereka tanpa mengira keputusan Liverpool yang bertemu Wolves di Anfield.

Liverpool yang sudah memenangi Piala Liga dan Piala FA masih boleh menambah satu lagi trofi kejuaraan mereka musim ini dengan menewaskan Real Madrid pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

Liverpool sudah merangkul gelaran tertinggi Eropah itu sebanyak enam kali, kejuaraan yang belum pernah dikecap City sehingga kini, walaupun dibimbing pakar Eropah, Guardiola sejak tahun 2016.

Namun begitu Guardiola yang pernah membimbing Barcelona meraih dua kejuaraan Liga Juara-Juara berkata, memenangi Liga Perdana adalah lebih sukar daripada memenangi kejohanan kelab tertinggi Eropah itu.

"Saya katakan ia lebih sukar. Terdapat banyak minggu dan perlawanan, bergelut dengan kecederaan, detik baik dan buruk dengan situasi berbeza, lawan yang sukar," kata Guardiola.

"Tapi ia sesuatu yang menyeronokkan apabila anda bertarung untuk Liga Perdana dan berjaya pada penghujungnya, ia memberi anda satu rasa yang lebih menyeronokkan.

"Ia lebih indah apabila anda menang. Ia tidak seperti Piala FA atau perlawanan tunggal, ia adalah rutin. Saya tidak katakan Liga Juara-Juara tidak penting, tetapi untuk menang 38 perlawanan berbanding enam, lapan atau sembilan perlawanan, ia berbeza," kata Guardiola.

Manchester City kini hanya perlu menang ke atas Aston Villa dan sekiranya berjaya apa saja keputusan Liverpool ke atas Wolverhampton Wanderers tiada akan memberi sebarang makna kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 8:15 AM