JURULATIH skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee akui mereka perlu mengetahui sama ada pemain bakal dihantar nanti adalah skuad yang dibarisi pemain terbaik atau lebih muda. - Foto Osman Adnan
JURULATIH skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee akui mereka perlu mengetahui sama ada pemain bakal dihantar nanti adalah skuad yang dibarisi pemain terbaik atau lebih muda. - Foto Osman Adnan
Syafiq Aznan


SASARAN realistik perlu digariskan selepas mengambil kira kekuatan skuad dan kualiti pemain yang bakal disenaraikan untuk mengharungi saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia, pada Ogos ini.

Jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee berkata mereka perlu mengetahui sama ada pemain bakal dihantar nanti adalah skuad yang dibarisi pemain terbaik atau lebih muda.

"Kita seharusnya realisitik kerana jika kita menghantar pasukan terbaik, sudah tentu kita mahu sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan dan mara ke peringkat suku akhir.

"Tetapi jika kita tidak mampu mendapatkan pemain terbaik, kita perlu mempertimbangkan sasarannya kerana kita akan memberi pendedahan kepada pemain berusia 21 dan 22 tahun sebagai persediaan untuk mengharungi pusingan Kelayakan B-23 pada tahun hadapan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pusingan kelayakan B-23 tahun hadapan akan memberi tiket kepada pasukan untuk beraksi di Kejuaraan B-23 2020 dengan Malaysia dijangka turut membida hak tuan rumah untuk pusingan akhir yang dijadual berlangsung awal 2020 itu.

Mengulas lanjut mengenai perancangan skuad muda negara itu, Kim Swee menyatakan mereka akan menyertai Piala Ulang Tahun Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia  (PSSI) 2018 pada hujung bulan ini.

"Selepas ini, kita akan terbabit dengan kejohanan jemputan PSSI yang akan bermula pada 28 April ini. Kita akan mula berlatih pada 20 April dan itu adalah pelan jangka masa pendek kita buat masa ini.

"Kemudiannya, kita akan melakukan persiapan untuk ke Sukan Asia," katanya.

Piala Ulang Tahun PSSI 2018 itu adalah kejohanan jemputan empat penjuru yang menampilkan skuad B-23 Indonesia, Korea Utara, Bahrain dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 6:47 PM