JURULATIH penjaga gol skuad B-23, Yong Wai Hwang beri komitmen tinggi. - FOTO BERNAMA
JURULATIH penjaga gol skuad B-23, Yong Wai Hwang beri komitmen tinggi. - FOTO BERNAMA
Aziman Rosdi


JURULATIH penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Yong Wai Hwang menegaskan, kem latihan pusat membabitkan 26 pemain B-21 yang bermula hari ini bukan latihan 'main-main' meskipun tanpa kehadiran jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Sebaliknya, latihan selama 11 hari itu cukup penting dalam mempersiapkan pasukan bagi mengharungi saingan Piala Ulangtahun PSSI 2018 di Jawa Barat, Indonesia pada 27 April-6 Mei depan.

Wai Hwang berkata, walaupun tanpa Kim Swee yang kini masih berada di Sepanyol bagi mengikuti latihan kejurulatihan di kelab Atletico Madrid bersama penolongnya, Brad Maloney, kem latihan kali ini penting untuk mereka membuat penilaian awal terhadap barisan pemain baru.

"Kesemua pemain yang dipanggil kali ini adalah muka baharu, bukan pemain yang beraksi di Kejohanan AFC B-23 di China Januari lalu. Kita membuat keputusan untuk menguji pemain B-21 ini di kejohanan di Indonesia dan latihan pusat ini adalah persiapan awal sebelum ke sana.

"Kita akan membuat penilaian awal terhadap semua pemain, jadi ini adalah latihan yang serius biarpun tanpa Kim Swee yang masih berada di Sepanyol. Pemain yang menyerlah dalam latihan dan kejohanan itu nanti, mungkin kita akan serapkan ke dalam skuad ke Sukan Asia di Jakarta Ogos ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Selain Wai Hwang, penolong jurulatih Khan Hung Meng turut ditugaskan untuk mengendalikan latihan pusat berkenaan di padang Wisma FAM.

Kim Swee sebelum ini membuat keputusan untuk tidak menghantar skuad B-23 yang melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC di China ke Kejohanan Piala Ulangtahun PSSI kerana mahu memberi pendedahan kepada pemain B-21 sebelum pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 tahun depan.

Daripada skuad B-23 itu, hanya 12 pemain yang masih layak beraksi di pusingan kelayakan itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 7:50 PM