NG CHIN CHAI
NG CHIN CHAI
Fabian Peter

SETIAUSAHA Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai mendedahkan pemain sudah mula menunjukkan reaksi positif susulan amaran yang diberikan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Norza yang juga presiden badan induk itu sebelum ini berang berikutan aksi tidak konsisten dan persembahan hambar pemain dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Ia menyebabkan lima ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Datuk Tey Seu Bock (beregu wanita), Rosman Razak (beregu wanita), Chin Eei Hui (beregu campuran), diberi peluang terakhir, untuk memberi peringatan kepada anak buah masing-masing atau mereka berdepan disingkirkan daripada skuad kebangsaan dalam tempoh tiga bulan.

“Ia sudah semestinya satu peringatan buat semua orang. Anda dapat lihat perubahan dalam kalangan pemain, ketika berlatih, semuanya selepas teguran yang dibuat oleh presiden (Norza).

“Pemain dan jurulatih harus faham, kita bukan memperkenalkan struktur baharu tetapi menyuruh mereka untuk lebih fokus serta kekal konsisten.

“Kami mahu pemain lebih serius dalam latihan, menunjukkan komitmen mereka. Sebelum ini pemain datang ke latihan namun tidak memberi sepenuhnya, ada pula yang tidak datang disebabkan perkara remeh. Kami mahu semua perkara ini dihentikan,” kata Chin Chai pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Komanwel Gold Coast di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Chin Chai menegaskan BAM yakin mampu menyamai pencapaian di Sukan Komanwel Glasgow 2014 dengan meraih tiga emas melalui beregu lelaki (Goh V Shem-Tan Wee Kiong), beregu wanita (Vivian Hoo-Woon Khe Wei) dan berpasukan campuran.

“Kami yakin untuk menyamai rekod temasya lalu (tiga emas) tetapi kami perlu mengakui cabaran di sana bukannya mudah.

“Kami sedar India sangat kuat dalam perseorangan lelaki. Sebelum ini kita mudah saja untuk meletakkan sasaran emas namun sekarang tidak lagi. Beregu lelaki dan beregu campuran mereka juga sedang meningkat naik.

“Selain itu, kita juga tidak boleh ketepikan England, jadi ia bukannya mudah tapi kita meletakkan sasaran tiga emas. Empat akan menjadi bonus,” katanya.

Skuad kali ini dibarisi bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), V Shem-Wee Kiong (beregu lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Chow Mei Kuan Vivian (beregu wanita), Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Malaysia akan memulakan aksi di Gold Coast dalam acara berpasukan campuran apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Kanada, Seychelles dan Ghana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 8:20 PM