EDDY Chew raih gangsa dalam acara 10m air pistol kelmarin. - FOTO OSMAN ADNAN
EDDY Chew raih gangsa dalam acara 10m air pistol kelmarin. - FOTO OSMAN ADNAN
Azlan Muhammad Zain


MAJLIS Sukan Universiti Malaysia (MASUM) menaruh harapan kontinjen negara mampu menambah kutipan pingat pada hari terakhir Kejohanan Menembak Universiti Dunia (WUSC) 2018, esok.   

Selepas dua hari berturut-turut meraih gangsa, aksi penembak negara hambar pada hari keempat hari ini di Lapang Sasar Subang.   

Wakil negara gagal melangkah ke pentas final dalam tiga acara yang dipertandingkan hari ini iaitu 50m rifle tiga posisi wanita (individu dan berpasukan), 25m rapid fire pistol lelaki (individu dan berpasukan) dan skeet wanita (individu dan berpasukan).   

"Secara umumnya, MASUM dan Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi berbangga dengan pencapaian penembak yang sudah meraih dua gangsa.   

"Ia adalah pencapaian tertinggi hasil komitmen dipamerkan pihak pengurusan, jurulatih dan penembak. Ia mencapai sasaran yang ditetapkan," kata Setiausaha Agung MASUM, Azli Puddin.   

Malaysia meraih gangsa menerusi Eddy Chew dalam acara 10m air pistol kelmarin selain acara berpasukan air pistol 10 meter yang dibarisi Aida Amirah Mohd Sheriff, Nik Nur Nabilah Syahidah Nik Nor Rosdi dan Cuili Siau, semalam.    

"Memang kita mengharapkan pingat esok namun apa lebih penting mereka mempamerkan aksi terbaik terlebih dulu.   

"Saingan di sini bukan sesuatu yang mudah kerana ada antara penembak luar negara pernah beraksi di Sukan Olimpik," tambahnya.   

Harapan esok tertumpu kepada saingan 10m air rifle yang menampilkan penembak kebangsaan Mohamad Lutfi Othman, Zul Haziq Rosli dan Nik Muhammad Aimullah Supardi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 5:35 PM