ZEN Hong (kiri), Wan Muhamad Syafiq Wan Mustaza, Muhammad Adib Abu Hassan Ashairi (kanan) memenangi pingat emas acara akhir menembak kategori 10 Meter Air Pistol berpasukan lelaki. FOTO Saifullizan Tamadi
ZEN Hong (kiri), Wan Muhamad Syafiq Wan Mustaza, Muhammad Adib Abu Hassan Ashairi (kanan) memenangi pingat emas acara akhir menembak kategori 10 Meter Air Pistol berpasukan lelaki. FOTO Saifullizan Tamadi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penembak muda Pahang, Cheah Zen Hong mempamerkan bidikan mantap apabila menyumbang emas buat kontinjen negerinya di Lapang Sasar Nasional Subang, hari ini.

Atlet berusia 16 tahun itu mengungguli acara 10 meter (m) air pistol lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan mengumpul 231.7 mata untuk mengatasi penembak Kedah, Al Azim Zakaria (perak) dan wakil Wilayah Persekutuan, Abdul Haiqal Abdul Aziz (gangsa).

Dia kemudian membantu Pahang memenangi emas dalam acara 10m air pistol berpasukan bersama Wan Muhammad Syafiq Wan Mustaza, Muhammad Adib Abu Hassan Ashairi dengan meraih 1,692 mata keseluruhan.

Pingat perak bagi acara itu dimenangi Wilayah Persekutuan, manakala gangsa manjadi milik pasukan Negeri Sembilan.

Menurut Zen Hong, dia puas dengan prestasi yang dipamerkannya dalam pertandingan itu dan menganggap ia sebagai pencaipaian terbaik yang pernah diraih.

"Saya hanya fokus kepada tugas yang perlu dilakukan dan mengikut pesanan jurulatih. Beberapa bulan lalu prestasi saya menurun dan saya ragu-ragu adakah saya mampu beraksi dengan baik di Sukma.

"Namun, saya berusaha bersungguh-sungguh dalam latihan dan meraih pencapaian terbaik hari ini," katanya.

Acara 50m rifle 3 posisi berpasukan wanita diungguli Negeri Sembilan dengan trio Aina Zahara Baharum, Alia Husna Budruddin dan Gan Chen Jie meraih mata tertinggi 1,689.

Pingat perak pula milik Nor Farhana Fadzil, Nur Syafani Nabilah Abdul Razak dan Sharifah Noor Ellyana Syed Abdul Hamid dari Perak, manakala gangsa diraih pasukan Sarawak.

Penguasaan Negeri Sembilan dalam acara 50m rifle 3 posisi wanita berterusan selepas Alia Husna mengungguli kategori individu dengan Perak dimenangi Nur Syafani Nabilah dan gangsa milik seorang lagi atlet Negeri Sembilan, Chen Ji.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:12 PM