DENDA RM500,000, iaitu satu perenam daripada bajet MIFA sebanyak RM6 juta. FOTO.MIFA
DENDA RM500,000, iaitu satu perenam daripada bajet MIFA sebanyak RM6 juta. FOTO.MIFA
Devinder Singh

MIFA lebih rela mengundur diri dari Liga Perdana daripada membayar denda yang disifatkan tidak masuk akal kerana terlewat menghantar dokumen pendaftaran pasukan.

Presiden MIFA Datuk T Mohan berkata denda RM500,000, iaitu satu perenam daripada bajet kelab itu sebanyak RM6 juta, yang dikenakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dianggap tidak berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan.

“Jika mereka mahu mengenakan denda seperti ini, tidak guna kami membentuk sebuah pasukan,” kata Mohan ketika majlis ikrar MIFA menentang rasuah dan dadah di Kuala Lumpur hari ini.

“Kami bukannya mahu meraih keuntungan tetapi membangunkan bola sepak dalam komuniti ini dan melahirkan pemain untuk negara. Memandangkan kami bukan kelab yang menjana banyak wang, adalah lebih baik kami mengundur diri jika mereka mahu mendenda kami sebanyak ini.”

Semalam FMLLP mengumumkan denda RM1.5 juta untuk empat pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada enam kelab Liga Perdana kerana lewat menghantar dokumen pendaftaran atau menghantar dokumen yang tidak lengkap untuk musim ini.

Mohan mempersoalkan bagaimana lembaga FMLLP boleh memutuskan denda sebanyak itu memandangkan ia tidak terkandung dalam peraturan atau undang-undang Liga-M.

“Jumlah itu tidak munasabah, RM500,000 tidak masuk akal,” kata Mohan. “Tidak dinyatakan dalam peraturan berapa denda yang dikenakan untuk setiap kesalahan.

“Tiba-tiba saja mereka mengumumkannya selepas mesyuarat lembaga. Saya rasa ia tidak munasabah bukan saja buat kami tetapi kebanyakan pasukan yang sukar menjana kewangan.”

“Sekurang-kurangnya jika mereka memberi kami geran sebanyak RM5 juta, denda tidak menjadi masalah tetapi sehingga kini subsidi RM1 juta yang diumumkan masih belum diberi dan kami berhempas pulas mendapatkan dana. Jadi bagaimana kami hendak membayar denda itu?”

Mohan mengesahkan MIFA akan merayu kepada FMLLP supaya denda itu diringankan.

“Kami berharap mereka akan mempertimbangkan rayuan kami kerana ia tidak adil. Kami pasukan yang baru dan masih belajar mengenai peraturan jadi kesilapan pasti berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 11:00 PM