KEVIN kecewa apabila ada pasukan seperti tidak serius dalam membuat rayuan. -Foto fail
KEVIN kecewa apabila ada pasukan seperti tidak serius dalam membuat rayuan. -Foto fail
Aziman Rosdi

KETUA Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam mengesahkan 10 pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang dikenakan denda sudah menghantar surat rayuan sebelum tarikh tutup hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan rayuan itu dijangka diketahui dalam tempoh terdekat ini sebelum Kongres Tahunan FMLLP, Ahad ini.

“Kita sudah menerima surat rayuan kesemua pasukan terbabit dan kita akan membawa rayuan itu kepada ahli lembaga pengarah FMLLP untuk membuat keputusan.

“Kita cuba untuk mendapatkan keputusan rayuan dalam tempoh dua, tiga hari ini sebelum Kongres FMLLP atau jika tidak sempat, mungkin selepas itu,” katanya ketika ditemui SUKAN NSTP selepas majlis Undian Piala FA 2018, hari ini.

Pada 19 Februari lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super dan enam dari Liga Perdana gagal melengkapkan pendaftaran pasukan selepas tarikh akhir menghantar dokumen pada 3 Februari lalu.

Dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur tidak menghantar atau menghantar dokumen tidak betul, manakala Selangor dan PKNS FC menghantar dokumen melepasi tarikh akhir diberikan.

Bagi Liga Perdana pula, empat pasukan tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala dua pasukan menghantar dokumen melepasi tarikh akhir ditetapkan iaitu MIFA dan UKM FC yang menghantar dokumen pada 15 Februari lalu dan 19 Februari lalu.

Atas kesalahan itu, pasukan Liga Super dikenakan denda RM1.5 juta manakala pasukan Liga Perdana RM500,000 serta hukuman pemotongan tiga hingga enam mata yang ditangguhkan sehingga 31 Disember depan.

Bagaimanapun, apa yang mengecewakan Kevin apabila ada pasukan seperti tidak serius dalam membuat rayuan.

“Ada pasukan yang hanya memohon rayuan dengan penjelasan ringkas sekeping surat saja tapi ada pasukan yang membuat rayuan dengan dokumen sokongan yang lengkap. Apapun, kita tunggu keputusan yang dibuat oleh ahli lembaga nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 9:01 PM