IMAN GOBINATHAN (dua dari kiri).
IMAN GOBINATHAN (dua dari kiri).
Naqib Nor Said

 

BEKAS ketua jurulatih skuad hoki wanita dalam dewan negara, Iman Gobinathan membuktikan nilai dirinya apabila dilamar Bangladesh untuk menjadi ketua jurulatih negara itu bermula hujung bulan ini.

Tugasan utamanya nanti adalah untuk menyiapkan pasukan ranking ke-30 dunia itu menghadapi Sukan Asia Jakarta Ogos depan.

Jika menjadi kenyataan, ia menjadi tempoh keduanya sebagai pembimbing Bangladesh selepas pernah membantu mereka meraih tempat kelima pada kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 2015 di Singapura.

Ketika dihubungi, Gobinathan, 40, mengesahkan perbincangan mengenai kontraknya sudah berada di peringkat akhir.

"Saya belum menandatangani kontrak, tetapi daripada segi syarat-syarat sudah dipersetujui. Sekarang ini cuma tinggal saya untuk menyelesaikan isu visa selain menunggu pelepasan tanpa gaji daripada majikan saya Maybank.

"Antara syarat diletakkan Persekutuan Hoki Bangladesh adalah untuk saya membantu mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Kelayakan Olimpik Remaja di Thailand, April depan sebelum memulakan tugas membentuk pasukan senior Bangladesh untuk Sukan Asia," katanya.

Dia yang lebih mesra disapa sebagai Gobi dilaporkan menerima tawaran untuk membimbing pasukan di kedudukan ketujuh Asia itu hanya hingga ke Sukan Asia.

Olimpian Sukan Olimpik Sydney 2000 itu tidak lagi terikat dengan tugasan sebagai jurulatih negara selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak melanjutkan kontraknya yang tamat pada Januari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas badan induk terbabit merumuskan dia gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan, namun yang menjadi persoalan bagaimana dengan hanya satu kejohanan - Sukan SEA 2017 - nasibnya ditentukan apalagi penilaian itu dibuat ketika dia menyandang portfolio yang bukan diimpikannya.

Pelantikan Gobi pastinya akan membawa impak terhadap kemajuan hoki Bangladesh kerana dia adalah sebahagian daripada barisan bersejarah kejurulatihan negara yang menjulang skuad Projek 2013 meraih tempat keempat Piala Remaja Dunia 2013 dan menjuarai Piala Remaja Asia 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 10:44 PM