Syafiq Aznan


PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berharap tiada lagi masalah pelanggaran kontrak antara pasukan dan pemain berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail (gambar) berkata, masalah berkenaan khususnya tunggakan gaji dan penamatan kontrak bukan sahaja menjejaskan imej liga malah memberi kesan kepada pemain memandangkan kerjaya bola sepak adalah mata pencarian mereka.

“Saya meminta semua pasukan dapat memberikan yang terbaik dari segi tadbir urus supaya tiada lagi masalah sama berulang musim baharu ini.

Berdasarkan peraturan yang dikuatkuasakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kami optimis masalah ini dapat diatasi.

“PFAM turut menyokong segala bentuk tindakan dan keputusan yang diambil FMLLP dan FAM dalam memastikan tadbir urus pasukan menjadi lebih baik. PFAM senada dengan FAM serta FMLLP yang sentiasa komited memartabatkan profesionalisme dalam bola sepak di negara ini,” katanya hari ini.

Saban musim, setiap pasukan berdepan masalah kontrak khususnya tunggakan gaji sehingga ada pasukan yang berdepan tunggakan hampir setengah tahun dan bukan sahaja membabitkan pasukan Liga Super malah pasukan Liga Perdana turut mengalami masalah sama.

Lebih memburukkan keadaan, pemain import turut terkena tempiasnya dengan tuntutan yang tidak dapat dilakukan memaksa mereka membuat aduan ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus situasi ini menjejaskan imej bola sepak negara.

Bagaimanapun, FMLLP menguatkuasakan hukuman yang menyaksikan empat pasukan iaitu Kelantan, T-Team, Perlis dan ATM dipotong enam mata berkuatkuasa serta-merta susulan gagal melengkapkan pendaftaran pasukan buat musim 2017 kerana menghadapi masalah kewangan dan tunggakan gaji.

Dalam perkembangan lain, Izham turut menyatakan pihaknya sentiasa terbuka membantu semua pasukan Liga M memantapkan lagi aspek pemasaran sebagai usaha menjana lebih banyak pendapatan untuk pasukan masing-masing.

“Dari pihak PFAM, kami sentiasa bekerjasama dengan pasukan bukan sahaja menambah baik daripada sudut piawaian undang-undang dan urus tadbir yang lebih baik tetapi daripada sudut komersial juga pemasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 6:09 PM