Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menganggap cadangan memotong mata liga ke atas pasukan gagal membayar gaji pemain dianggap setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Izham Ismail, tindakan tegas perlu diambil dalam mencari jalan penyelesaian ke atas masalah tunggakan gaji pemain yang kerap berlaku setiap musim.

“Saya fikir kalau FAM dapat menguatkuasakan undang-undang ini, ia akan membuatkan semua pasukan lebih berhati-hati dan menitikberatkan soal pembayaran gaji pemain.

“Sebagai contoh, kalau gaji seorang pemain tertunggak sehingga empat bulan dengan jumlah sehingga RM80,000, saya fikir memang setimpal pasukan itu dipotong mata,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Menurut Izham beberapa cadangan sudah dikemukakan termasuk menubuhkan badan bebas National Dispute Resolution Chamber (NDRC) untuk mengendalikan kes berkaitan kontrak pemain yang sebelum ini diuruskan Jawatankuasa Status Pemain FAM.

Malah cadangan mereka untuk memperkenalkan peraturan baru dalam kontrak pemain kepada FAM dan pengendali Liga Malaysia (Liga M) Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) masih dipandang sepi.

“Kita cadangkan agar badan bebas NDRC ditubuhkan untuk mengendalikan kes berkaitan kontrak pemain seperti digunakan FIFA. Mereka ini dianggotai orang berkelayakan dalam undang-undang dan bukannya ahli FAM.

“Sekarang banyak kes tertunggak dan saya lihat Jawatankuasa Status FAM lambat mengendalikan kes kontrak pemain kerana untuk bermesyuarat kena tunggu cukup korum dulu.

“Banyak penambahbaikan yang cuba kita lakukan termasuk memperkenalkan kontrak pemain mengikut standard FIFA bagi berlaku adil kepada pemain dan pasukan.

“Ini kerana kontrak diguna pakai sekarang kurang melindungi pemain apabila pasukan atau kelab tidak membayar gaji, tiada denda dikenakan terhadap mereka,” kata Izham.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:55 AM